Istiadat keberangkatan balik tidak dapat dilupakan

KUANTAN 30 Jan. – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat memastikan kelancaran Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka ke Pahang.

Baginda menyifatkan Istiadat Keberangkatan Baliik selepas tamat tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 hari ini sebagai peristiwa yang tidak dapat dilupakan baginda  dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Sambutan keberangkatan pulang bagi saya hari ini cukup ‘memorable’ dari Istana Negara ke Parlimen seterusnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pelbagai pertunjukan kebudayaan.

“…dan saya tiba di Kuantan dengan perasaan cukup terharu. Macam tidak percaya ini hari terakhir saya sebagai Yang di-Pertuan Agong,” titah Seri Paduka pada Majlis Santapan Tengah Hari Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong dan paduka-paduka anakanda termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Semasa bertitah, Al-Sultan Abdullah secara spontan berseloroh menyifatkan sambutan terhadap Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini membuat Seri Paduka mengimbau kenangan hari perkahwinan dengan Tunku Azizah pada 1986.

“Saya pun rasa seperti pengantin,” titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka seterusnya menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin kerajaan negeri yang terlibat menyusun upacara hari ini, dan menyifatkan jasa semua pihak terlibat hanya Allah yang dapat membalas.

Berkongsi perasaan melangkah meninggalkan Istana Negara yang menjadi singgahsana Seri Paduka bersemayam sejak 31 Januari 2019 pada pagi tadi, Seri Paduka bertitah ia amat sayu dan banyak air mata yang menitis.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan harapan supaya rakyat Pahang berbangga dengan pencapaian Sultan mereka yang telah melunaskan tanggungjawab terbaik untuk negara dan rakyat sejak menggalas amanah sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Mungkin sebilangan kecil tidak bersetuju dengan beberapa perkara keputusan saya buat, (namun) majoritinya adalah bersama (dengan) keputusan (yang) saya buat.

“Alhamdulillah rakyat Pahang masih rindu pada saya. Saya tidak pernah meninggalkan Pahang. Nadi dan jiwa sentiasa di sini, badan sahaja di sana (Istana Negara),” titah Seri Paduka.

Turut hadir ialah pemimpin kerajaan negeri diketuai Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku menteri pengiring dalam istiadat itu.

Related posts

Leave a Comment