KUALA LUMPUR 6 Okt. – Proses rundingan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu dilakukan sekiranya Malaysia mahu menghentikan peranan Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan, peranan yang dimainkan UNHCR ketika ini merupakan isu legasi yang dibenarkan secara rasmi oleh kerajaan dan sebarang pindaan peraturan mengenainya akan mengambil masa.
“Ini memerlukan proses rundingan dengan PBB supaya kita tidak dilihat mengenepikan peraturan antarabangsa.
“Bagaimanapun, saya setuju sebenarnya tindakan dan keputusan yang tegas harus diambil kerana urusan negara kita harus oleh jentera kita sendiri, tidak diatur oleh pegawai dari luar, yang mengatur siapa yang layak, siapa yang tidak layak (mendapat status pelarian),” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Hamzah Zainuddin (PN-Larut) mengenai cara untuk kerajaan tidak membenarkan UNHCR mengeluarkan kad pelarian, sebaliknya peranan itu diambil kerajaan atau Kementerian Dalam Negara (KDN).
Sebelum ini, Menteri Luar, Mohamad Hasan, memaklumkan kerajaan berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan terhadap UNHCR secara berperingkat selepas keupayaan negara untuk menguruskan pelarian dan pencari suaka semakin bertambah baik.
Mohamad berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada kajian semula terhadap operasi, skop dan fungsi pejabat UNHCR di Malaysia.
Beliau, berkata kajian semula itu dilaksanakan selaras dengan pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), yang bertujuan memperkukuh mekanisme pengurusan pelarian yang dilaksanakan sendiri oleh kerajaan.
Perdana Menteri, berkata Malaysia perlu terus melaksanakan rundingan dengan Myanmar supaya isu pelarian dan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara itu dapat diselesaikan.
“Kita tidak ambil pendekatan seperti Amerika Syarikat (AS) atau Eropah yang keras, tidak mahu berunding sama sekali dengan Myanmar.
“Kita ambil pendirian secara bebas, berunding untuk menyelesaikan masalah dalam negara kita, yang jika tidak ditangani, akan merebak menjadi masalah keselamatan yang serius dalam kalangan rakyat,” katanya.
Nnnn
