KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan membincangkan kemungkinan Pas menggunakan lambang dacing yang mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka.
Pengerusinya, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibuat selepas perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh dimuktamadkan.
Katanya ketika ini, BN masih belum memuktamadkan parti atau gabungan yang akan bekerjasama dengannya bagi menghadapi pilihan raya negeri itu.
“Minggu ini kita akan ada perbincangan dengan beberapa pihak, dengan parti gabungan mana, dengan parti mana kita akan bertanding.
“Kita menghormati keputusan yang akan dibuat oleh mereka, logo dan lambang apa yang akan mereka gunakan. Itu terserah kepada mereka,” katanya ketika menjawab mengenai kesediaan BN membenarkan Pas bertanding menggunakan logonya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung PN yang juga Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata gabungan itu tidak menolak kemungkinan menggunakan logo Pas atau logo parti komponen lain pada PRN Melaka sekiranya penggantungan PN masih berkuat kuasa.
Menurutnya, Pas tidak mempunyai masalah untuk menggunakan logo sendiri, manakala penggunaan lambang parti komponen adalah antara pilihan yang dipertimbangkan bagi membolehkan kerjasama antara parti diteruskan.
Khamis lalu, Pengarah Pilihan Raya Pas Muhammad Sanusi Md Nor berkata, parti itu belum membincangkan lambang yang akan digunakan pada PRN Melaka dan perkara berkenaan akan diputuskan kepimpinan pusat.
RoS sebelum itu mengeluarkan perintah menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.
Perintah itu dikeluarkan susulan notis di bawah Subseksyen 13(2) pada 22 Sept yang memerlukan PN memberikan penjelasan berhubung aduan diterima, namun RoS menegaskan tindakan berkenaan bukan pembatalan pendaftaran gabungan itu.
Takiyuddin sebelum ini berkata, PN tidak bersetuju dengan asas keputusan RoS dan akan mengambil langkah melalui proses undang-undang bagi mempertahankan gabungan berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat pada 7 Oktober ini bagi menentukan tarikh penting PRU Melaka termasuk hari penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian.
Nnnnnn;
