CCTV bocor turut jadi fokus siasatan

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Kebocoran rakaman kamera litar tertutup (CCTV) adalah antara aspek yang menjadi fokus jawatankuasa siasatan berhubung insiden membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata polis juga mengambil perhatian rakaman percakapan dan bukti lain.

“Ketika predikat dan hala tuju siasatan diletakkan sebagai landasan, elemen kebocoran dan punca sebaran video itu juga adalah dalam senarai semak, selain rakaman percakapan dan bukti lain. Itu dalam tindakan pihak polis,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai kebocoran dan penyebaran rakaman kamera litar tertutup (CCTV) insiden itu, selain jaminan ia tidak berulang kerana membabitkan sistem keselamatan di lapangan terbang.

Menurut Saifuddin, Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyerahkan laporan awal berhubung kes dakwaan kekasaran membabitkan Mohd Shuhaily terhadap penjawat awam kepada Jabatan Peguam Negara, hari ini.

Katanya, Jabatan Peguam Negara akan menentukan sama ada mereka berpuas hati bahawa kertas siasatan itu sudah cukup lengkap.

“(Jika tidak) besar kemungkinan Peguam Negara akan mengarahkan langkah diambil lagi bagi memastikan kertas itu betul-betul meyakinkan atau mempunyai asas kes yang cukup,” katanya

Sebelum ini, Mohd Shuhaily dilaporkan menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan yang mungkin dikenakan susulan video tular memaparkan dirinya memarahi seorang individu di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) Terminal 1.

Mohd Shuhaily, berkata perkara berkenaan sudah dimaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan beliau bersedia menerima sebarang keputusan berhubung isu itu.

Related posts

Leave a Comment