Pakatan Rakyat pelopori tema berbeza

KECOH juga apabila Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari  memperkenalkan logo dan tema alternatif sempena sambutan Hari Kebangsaan yang berbeza daripada tema yang ditetapkan oleh Kerajaan Perpaduan.

Semalam Pemuda PN memperkenalkan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’ berbanding tema “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” yang diumumkan kerajaan pimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim.

Berikutan itu, empat negeri di bawah pemerintahan PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza di peringkat negeri tahun ini. Akibatnya ramai yang melatah dengan ‘jolokan’ Ahmad Fadhli.

Tindakan itu mendapat kecaman termasuk pihak kerajaan yang ada antaranya menyifatkan penggunaan logo dan tema berlainan itu bermotifkan politik dan tidak patut berlaku atas keperluan menghormati semangat berpersekutuan.

Cadangan Ahmad Fadhli itu juga dilihat seolah-olah mengkhianati prinsip federalisme yang diamalkan negara.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata pihaknya akan mengarahkan pihak bertanggungjawab untuk meneliti perkara itu dan menyeru semua pihak mengenepikan untuk berpolitik.

Katanya, beliau akan meneliti isu itu kerana tidak mahu perbezaan berlaku yang akan mewujudkan jurang serta mewujudkan suasana tidak bersatu padu.

Lebih serius,  Ahli Jawatankuasa Amanah, Muhammad Faiz Fadzil mendakwa, tindakan itu berbaur hasutan kepada rakyat di Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu untuk membangkitkan perasaan kebencian terhadap kerajaan Persekutuan.

Menyifatkan tindakan itu tidak patriotik, beliau berkata, siasatan boleh dibuat sama ada di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan mahupun Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sama ada mereka yang mengecam itu sedar atau tidak, hakikatnya ini bukan kali pertama isu berlainan tema dan logo sempena sambutan Hari Kebangsaan diperkenalkan di peringkat negeri.

Menyelak kembali apa yang berlaku pada 2012, empat negeri yang ketika itu diterajui  Pakatan Rakyat (PR) juga enggan menggunakan tema sambutan Hari Kebangsaan Kerajaan Persekutuan iaitu ‘Janji Ditepati’.

Ketika itu, bukan sekadar satu tema atau logo tetapi empat apabila setiap negeri yang ditadbir oleh PKR, DAP dan Pas bebas memilih tema masing-masing.

Bagi Kelantan temanya ialah ‘Menerajui Perubahan’,; Kedah memilih ‘Terus Berbakti’,; Selangor pula  ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ manakala Pulau Pinang menggunakan Budaya Bersih, Merdekakan Rakyat.

Begitulah meriahnya tema sambutan pada tahun 2012, berbanding satu tema yang diperkenalkan Pemuda PN semalam menyebabkan suasana  riuh rendah ‘satu Malaya’.

Mungkin ada yang masih ingat, ketika itu, negeri-negeri PR memilih tema alternatif itu berikutan tema, logo dan lagu yang dipilih oleh Kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN) didakwa ‘bukan untuk semua’.

Begitu juga pada 2015, tema yang dipilih kerajaan DAP Pulau Pinang adalah Bersih, Cekap, Amanah manakala slogan Kerajaan Persekutuan adalah Sehati, Sejiwa.

Situasi sama berlaku pada hari ini. Justeru ia bukan sesuatu yang luar biasa jika diselak kembali tindak tanduk parti politik pembangkang ketika itu. Sama sahaja 2 x 5 atau 5 x 2. Pi mai pi mai tang tu.

Dalam hal ini, sudah menjadi lumrah, tema sambutan akan dikaitkan dengan dasar atau gagasan kerajaan semasa seperti berlaku sebelum ini termasuk tema ‘Janji Ditepati, 1Malaysia dan Keluarga Malaysia.

Sewajarnya, kerajaan yang kini diterajui pimpinan yang pernah memimpin PR dan berpengalaman memprotes tema lebih peka dengan tema sambutan kali ini supaya ia dapat diterima oleh semua pihak tanpa ada unsur-unsur kepentingan politik.

Tema sambutan kali ini Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ sudah tentu ada kaitan dengan kerajaan semasa dengan adanya perkataan MADANI, PERPADUAN dan HARAPAN.

Justeru sekali lagi pimpinan PH seharusnya mengelak menggunakan tema yang mempunyai unsur politik kerana mereka lebih awal mempelopori tema berbeza atau menolak tema peringkat Pusat sehingga terpaksa mencipta logo atau tema baharu untuk negeri.

Selaklah kembali apa reaksi pimpinan PR apabila mereka mencipta tema baharu dan menolak tema kerajaan BN ketika itu.

Selamat Hari Kebangsaan Kibarkan Jalur Gemilang!

Related posts

Leave a Comment