Calon GTA guna logo Pejuang, Putra

PUTRAJAYA 11 Okt. – Semua calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bertanding atas tiket Gerakan Tanah Air (GTA) akan menggunakan bendera dan logo  Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), kata Pengerusi GTA, Dr.Mahathir Mohamad.

Katanya, langkah itu berikutan pendaftaran GTA sebagai parti politik masih belum diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) sehingga Parlimen dibubarkan semalam.

Beliau berkata, biarpun GTA mungkin diluluskan dalam masa terdekat, pihaknya masih tidak boleh bertanding menggunakan logonya.

“Sebab itu kita membuat keputusan hari ini iaitu kita akan bertanding dengan nama Pejuang dengan menggunakan simbol Pejuang dan bendera Pejuang,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Dr Mahathir yang sebelum itu mempengerusikan mesyuarat GTA berkata, semua parti politik yang bersekutu dengan GTA sudah bersetuju untuk bertanding menggunakan logo dan bendera Pejuang.

Bagaimanapun calon GTA di Kelantan akan bertanding menggunakan bendera dan logo Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

“Atas sebab tertentu, GTA tidak akan bertanding di Kelantan dengan nama GTA sebaliknya (menggunakan logo dan bendera) Putra. Di negeri lain walaupun calon Putra, mereka akan bertanding dengan nama Pejuang,” katanya.

Dr Mahathir berkata, GTA akan meletakkan lebih 120 calon di seluruh negara termasuk di Sabah yang melibatkan calon muda dan wanita sebagai strategi parti untuk memenangi PRU15.

Katanya, GTA mahu meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita namun ia juga bergantung kepada bakat yang ada.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen penggal ke-14 bagi memberi laluan kepada PRU15 berkuat kuasa semalam.

Related posts

Leave a Comment