Bukan ikut ‘menari’ tetapi mencari di mana ‘salah’

PAGI ini terima satu poster berkaitan Himpunan Aman Selamatkan UMNO. Tarikhnya 26 Ogos. Lokasi depan tiang bendera UMNO di Dataran PWTC (WTC). Tujuan desak Zahid, Tok Mat dan semua pemimpin tertinggi undur secara terhormat.

Hebat. Tak tahu siapa penganjurnya. Maka timbul keraguan. Tidak lama kemudian masuk pula poster sama tetapi tertera perkataan PALSU. Habis cerita.

Walaupun palsu, mesejnya jelas bahawa terdapat usaha untuk mendesak pimpinan parti berundur atau berubah selepas kekalahan UMNO yang memalukan.

Cuma tidak pasti siapa yang mengambil ‘inisiatif’ palsu ini. Hakikatnya desakan untuk melihat perubahan pimpinan itu ada. Soalnya siapa? Jika orang luar UMNO, maknanya musuh UMNO yang cuba menangguk di air keruh.

Dalam hal ini teringat nasihat seorang pemimpin UMNO kepada anggota parti itu dan juga mereka yang berada di luar parti. Nasihatnya kepada anggota parti : Kita tak akan ‘menari ikut gendang mereka’.

Nasihat itu merujuk kepada kenyataan “orang di luar UMNO” yang dulunya bersama UMNO tetapi dipecat kerana “derhaka” atau dilabel sebagai “pengkhianat”.

Pemimpin itu juga mengingatkan mereka yang keluar UMNO supaya menumpukan kepada parti baharu yang disertai dan jangan ‘kacau UMNO’. Tak perlu sibuk komen pasal UMNO. Soal pemimpin itu lagi “Adakah itu dikatakan benci tapi rindu?”.

Memang benarlah kata pemimpin UMNO itu. Apa juga keputusan atau pendirian UMNO, ikut suka UMNO. Samalah seperti ungkapan popular ini “Kerajaan kami, ikut suka kamilah” atau “Undi hak kami ikut suka kamilah,”.

Cuma bab ‘benci tapi rindu’ itu mungkin juga ada dalam kalangan UMNO yang ‘ditendang’ keluar sebenarnya bersuara disebabkan “benci tapi sayang”.

Tak apalah, pedulikan orang luar. Golongan ini hanya ada nilai sewaktu mengundi. Tetapi suara ‘akar umbi’ kena dengar. Maksudnya orang di bawah, sama ada anggota UMNO atau bukan, bekas anggota UMNO – dipecat, digantung atau keluar parti.

Kecualilah jika UMNO beranggapan tiga juta anggota UMNO itu sudah memadai atau mampu memenangkan calon-calon UMNO. Maknanya tidak mengharapkan sokongan orang luar, tidak perlukan undi orang atas pagar atau orang di luar parti.

Tolak ke tepi suara orang dalam yang ada juga antara mereka seorang dua mendesak pemimpin berundur, tetapi jangan diabaikan sama sekali pandangan orang luar. Jangan ditolak begitu sahaja.

Rasanya orang di luar itu tidak ada apa-apa kepentingan. Cuma mereka masih ‘mengharapkan UMNO” sebagai tempat ‘bergantung’ selain pilihan lain Pas, Bersatu atau PKR. Hakikatnya mereka jasa UMNO dan tidak mahu UMNO pupus.

Tidak salah mereka menyatakan kembimbangan. Boleh juga rujuk pandangan Tun Abdul Hamid Mohamad melalui tulisannya di bebasnews.

Memetik tulisan itu, mantan Ketua Hakim Negara itu berkata: “Selepas PRN Melaka dan Johor, kita memperingatkan pemimpin-pemimpin UMNO bahawa orang Melayu memberi kemenangan kepada UMNO bukan kerana mereka, tetapi in spite of them.

Kita memperingatkan pemimpin-pemimpin itu bahawa orang Melayu memberi kemenangan kepada UMNO kerana mereka masih sayangkan UMNO. Pada masa yang sama, mereka mengharapkan UMNO akan berubah dan membersihkan diri daripada pemimpin-pemimpin yang menjadi liabiliti kepada parti,”

Maka muhasabahlah. Turunlah ke bawah. Selidiklah kenapa Melayu sama ada orang UMNO atau tidak atau berada di atas pagar membuat keputusan bersejarah kali ini sama ada memilih bukan BN-PH atau tidak keluar mengundi.

Ada juga yang keluar mengundi untuk mempamerkan tanggungjawab keluar mengundi tetapi di kotak undi, tidak mengundi atau dalam erti kata lain ‘merosakkan undi’. Alasannya tidak dapat menerima parti yang pernah memusuhi UMNO.

Tindakan itu sebagai protes kerana dalam sejarah hidupnya sebagai pengundi, tidak ada pilihan lain selain dacing. Golongan ini tidak perlu disalahkan kerana mereka sudah dididik mengenai ‘keburukan’ dan ‘bahaya’ parti lawan.

Analisis secara terperinci perlu dilakukan untuk melihat ke mana undi khususnya Melayu UMNO atau atas pagar pergi di kawasan ditandingi UMNO. Begitu juga di kawasan tanpa calon UMNO.

Justeru tindakan Pemuda UMNO mengambil inisiatif menganjurkan “Di mana Salah Kita. Post Mortem PR6N Pemuda UMNO Malaysia adalah satu langkah yang baik. Berterus terang, bukan sekadar sembang untuk ‘bertahan’ sahaja.

Betullah kata Akmal bahawa: Jawatan yang adalah untuk dipertanggungjawabkan bukan hanya untuk dipertahankan. Masa untuk kita berani berubah kepada yang lebih baik. UMNO perlu dikembalikan kepada zaman kegemilangannya,”

Selepas di peringkat Pemuda, ikhtiarkan juga untuk bukan ahli atau pengundi atas pagar memberi pandangan. Jangan sekadar berlegar di bawah tempurung atau kelambu UMNO sahaja.

Jemputlah sama mereka yang pandai becakap di media sosial tetapi apabila turun gelanggang tersungkur. Bukan sekali kecundang. Mereka ini apabila memberi pandangan hanya mengambil kira pemikiran diri dan parti.

Kata Akmal : “Kadang-kadang bila kita bercakap kita tidak sedar yang kita tidak berpijak di bumi yang nyata dan itulah salah satu punca kekalahan. Bila ada orang yang menyatakan kerisauan dan suara akar umbi, dianggap orang itu musuh sebab tidak sehaluan? Jangan berfantasi, kita kena hadapi realiti,”.

Related posts

Leave a Comment