Malaysia Madani ambil masa untuk difahami

KUALA LUMPUR 17 Ogos –  Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak dakwaan yang menyatakan konsep Madani yang dibawa Kerajaan Perpaduan tidak berkesan menarik pengundi Melayu sebaliknya orang Melayu masih memerlukan masa memahami konsep itu.

Be berkata,, konsep Malaysia Madani itu satu konsep yang menyeluruh yang perlu mengambil masa untuk difahami rakyat dan ia bukan mengenai soal wang berjuta dan berbilion ringgit.

Justeru, katanya, Kerajaan Perpaduan akan mengukuhkan jentera dan kepemimpinan untuk bekerja lebih keras menterjemah dan mempromosi konsep itu untuk difahami rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) juga menolak sikap yang sering menyalahkan orang Melayu yang dikatakan mudah terpengaruh dengan isu kaum dan agama.

“Saya juga tidak setuju ada pihak gunakan isu perkauman dan agama untuk menakut-nakutkan orang Cina,” katanya selepas melancarkan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani dan Pusat Penjaja Madani di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian mengulas dakwaan yang menyatakan strategi Malaysia Madani tidak berkesan menarik pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sebelum ini, kajian pusat penyelidikan bebas Ilham Centre mendapati hanya 39 peratus orang Melayu dari Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan masih belum memahami konsep Madani yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan.

Laporan yang dikeluarkan dua hari sebelum hari pengundian itu menyatakan 61 peratus kaum Cina dan 55 peratus kaum India, menerima konsep itu dengan baik.

Dalam masa yang sama, Anwar turut menolak dakwaan orang muda turut gagal memahami konsep Madani itu sebaliknya mereka dipesongkan dengan kenyataan yang salah mengenainya.

Beliau menegaskan bukan satu yang aneh gelombang kebangkitan kumpulan konservatif dalam pilihan raya seperti yang dialami Malaysia ketika ini.

“Di Eropah yang ada kecanggihan dan ilmu pendidikan yang tinggi juga, sokongan kepada aliran perkauman dan agama seperti Nazi, semakin meningkatkan begitu juga di Amerika Syarikat, fahaman yang dipanggil Christian Rights yang keras juga semakin mendapat tempat,” katanya.

Beliau berkata, bagi menangani kebangkitan aliran sedemikian, kerajaan akan menyantuni rakyat, dengan menggunakan hikmah, kebijaksanaan dan prestasi kerja.

“Ini saya tegaskan dalam mesyuarat Kabinet semalam, bahawa kita perlu menjalankan kerjadengan ikhlas…dan mustahil kita ditolak jika ada keikhlasan dan jujur melaksanakan serta berjuang menolak rasuah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment