Exco Pahang antara 10 korban nahas jet

SHAH ALAM  17 Ogos – Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Johari Harun, dilaporkan antara 10 mangsa terkorban dalam nahas jet persendirian dekat Elmina petang ini.

Ketika kejadian, Johari yang juga Ketua UMNO bahagian Bentong, dalam penerbangan dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang.

Lapan daripada mangsa adalah penumpang dan kru pesawat manakala lagi adalah orang awam yang menaiki sebuah kereta dan motosikal yang melalui jalan itu ketika pesawat berkenaan terhempas.

Ketua Polis Selangor,  Hussein Omar Khan berkata, pesawat peribadi itu dari Langkawi dan dijangka mendarat pada pukul 2.50 petang, namun terhempas dua minit sebelum waktu mendarat.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Jet Valet Sdn Bhd (Jet Valet) yang juga syarikat pengendali bagi pesawat terbabit nahas itu mengesahkan menerima laporan mengenai insiden berkenaan.

Syarikat itu menerusi kenyataan , bagaimanapun memaklumkan, pihaknya ketika ini, masih menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa mengenai insiden terbabit.

“Jet Valet akan memberi sepenuh komitmen dan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan berhubung insiden terbabit.

“Syarikat ketika ini tidak dapat mengesahkan sebarang butiran lain secara rasmi, termasuk kemalangan jiwa kerana menunggu pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment