Sembang PRN pilih calon atau parti

SEMALAM, tiba dari Kuala Lumpur, ambil Grab dari Bayan Lepas, singgah di Jalan Penang. Tujuannya mahu menikmati ais tingkap dan cucur udang. Sepanjang perjalanan, saya cuba ‘memancing’ pemandu, bangsa Cina untuk bercakap mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dia kurang bagi respons. Sebaliknya bila ditanya mengenai kerjayanya itu, beliau mula bercerita mengenai masalah jalan sesak terutama pada sebelah petang sama ada bandar, ke lapangan terbang dan Butterworth.

Katanya tidak ‘berbaloi’ jika dapat ‘job’ ke seberang pada waktu puncak atau ke mana-mana tempat di kawasan bandar. Sangkut di sana sini.

Selepas ronda-ronda kawsan sekitar, singgah pula di Padang Kota. Sasaran Hameed PATA Special Mee. Di situ popular dengan mi sotong goreng atau rebus. Tidak seperti pada hujung minggu beratur panjang. Kali ini tidak perlu beratur.

Kemudian naik bas percuma ke Pengkalan Raja Tun Uda, naik feri ke Pengkalan Sultan Abdul Halim di Bagan. Feri baharu. Menarik juga ada ruang berhawa dingin untuk pejalan kaki dan ada ruang untuk pengguna motosikal.

Dari Penang Sentral, ambil Grab ke Seberang Jaya. Dapat anak muda keturunan India. Mengundi di Bagan Jermal. Pelan-pelan pancing cerita politik. Nak tahu sejauh mana minatnya. Kali ini mengena. Petah berbahasa Melayu mengulas politik.

Saya bertanya mengenai dua pemimpin DAP yang bertanding Bebas, M Satees (Bagan Dalam) dan David Marshel (Perai).

M.Satees (Perai) dan David. Rupanya dia tahu mengenai mereka. Beliau mengakui bukan ahli parti tetapi ambil tahu hal politik. Baginya mereka orang yang rajin bekerja.

Katanya, di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mesyuarat Majlis Bandaraya mereka bercakap. Bukan sekadar menyokong tetapi mengkritik. Katanya itu antara ciri pemimpin yang perlu ada untuk mewakili rakyat.

Parti politik juga perlu memilih mereka yang prihatin dengan masalah rakyat, bukan meletak calon yang orang hanya kenal semasa kempen pilihan raya.

Ditanya peluang, beliau tidak berani meramalkan tetapi berpandangan rakyat negara ini masih belum dapat menerima calon yang terbukti boleh bekerja tetapi bertanding tanpa parti. Ini satu kerugian kepada calon Bebas.

Pagi ini naik lagi satu grab. Pemandunya Melayu. Masih muda, mungkin 30an. Menarik apabila ditanya mengundi di mana. Jawabnya Bertam. Memang menarik kerana itu kawasan bekas menteri Kabinet, Reezal Merican Naina Merican (BN).

Maka bermulalah perbincangan berkaitan calon. Katanya, Reezal Merican berdepan penyandang jawatan Khaliq Mehtab (PN) dan bukan mudah apatah lagi semasa PRU15, Reezal Merican kalah kepada calon PN-Pas.

Saya kemudian bertanya kenapa kalah? Jawabnya Reezal Merican tidak sepatutnya kalah. Dia jadi ‘mangsa keadaan’. Dia rajin bekerja untuk penduduk tempatan tetapi terpaksa ditolak ketika pengundi sedang ‘marah’ seseorang.

Ditanya adakah, kali ini  Reezal Merican ada peluang, beliau tidak berani meramalkan tetapi bersetuju dengan kata-kata Khairy Jamaludin (KJ) supaya pengundi melihat Reezal Merican bukannya Zahid Hamidi.

Bagaimanapun situasi PRU berbeza dengan PRN kerana dikatakan wujud rasa tidak puas hati berganda selepas pembentukan kerajaan. Bukan setakat tidak puas hati kepada pemimpin tetapi parti.

Katanya, pengundi masih ingat bagaimana pemimpin UMNO “membelasah” DAP, PKR di pentas kempen PRU15 tetapi kini bertukar arah. Habis keliru pengundi.

Pengundi katanya bukan seperti anggota parti yang boleh patuh dan ‘menari’ ikut rentak ketua. Sebaliknya pengundi bosan dan keliru dengan permainan politik. Maka tidak mustahil pendirian mereka masih sama.

Mungkin mereka boleh menerima seperti kata KJ : “Sangat penting (untuk keluar mengundi) sebab tanggungjawab kita untuk pilih calon terbaik. Di Bertam ini saya tahu ada ramai enggan mengundi calon BN disebabkan faktor tertentu. Ketepikan BN itu sekejap, tengok Reezal Merican. Undilah beliau.

Satu undi untuk Reezal Merican (hanya) untuk Reezal Merican, tak lebih daripada itu. Satu undi untuk Reezal Merican bukan untuk Zahid Hamidi (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)”.

Mungkin kali ini ada sedikit simpati kepada Reezal Merican sebagai bekas Ahli Parlimen Kepala Batas. Serba salah pengundi, memilih calon sama seperti pilih parti. Tidak ada pilihan. Apa pun semuanya terletak di tangan pengundi Bertam.

Related posts

Leave a Comment