Telur ada najis, gerai roti canai tutup 14 hari

TANJONG 2 Jan. – Tahap kebersihan tidak memuaskan termasuk telur yang masih terdapat najis ayam sebagai bahan bagi membuat makanan, sebuah gerai roti canai popular di Jalan Transfer di sini, diarah tutup selama 14 hari ni, mulai hari ini.

Premis terbabit juga dikenakan kompaun sebanyak RM500 kerana gagal menghantar pekerja bagi mengambil kursus pengendalian makanan.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut mengeluarkan notis penutupan itu mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Turut dikenakan kompaun sebanyak RM500 adalah sebuah gerai minuman berhampiran gerai roti canai itu yang dikesan mempunyai pencemaran silang pada peti penyimpanan ais.

Terdahulu, pemeriksaan dilakukan kira-kira pukul 11 pagi ketika premis berkenaan dipenuhi dengan pelanggan yang menjamu selera.

Sementara itu, pemilik kedai berkenaan, Shahjahan Abdul Hamid akur dengan arahan berkenaan dan memohon maaf kepada pelanggan.

Katanya, tempoh penutupan itu akan diguna sebaiknya bagi membersihkan gerai berkenaan.

Difahamkan, pemeriksaan itu dilakukan susulan video tular di media sosial mengenai pekerja premis itu yang tidak mengamalkan kebersihan ketika membuat makanan.

Video berdurasi 53 saat itu mendapat pelbagai reaksi warga net yang meminta pihak berkuasa bertindak dan memeriksa kedai berkenaan.

Related posts

Leave a Comment