Sejauh mana kesan pemimpin keluar DAP menjelang PRN?

MENARIK untuk mengikuti perkembangan dalam DAP di Pulau Pinang berikutan seorang lagi pemimpin meninggalkan parti kerana dikatakan ada kaitan dengan penglibatan ‘maharaja yang berkuasa’ mencatur calon Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bekas Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy mengikut jejak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M Satees dan bekas Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Marshel yang lebih awal keluar DAP.

Satees, kemudiannya mencalonkan diri untuk mempertahankan kerusi Bagan Dalam yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu manakala David Marshel di DUN Prai atas tiket Bebas yang menggunakan lambang pokok.

Adakah tindakan Ramasamy itu menjejaskan parti menjelang PRN esok? Waktu meninggalkan DAP tetapi masih menyokong kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Semalam Kon Yeow mengakui tindakan itu boleh memberi kesan kepada pola pengundian, terutama masyarakat India di samping kemungkinan berlaku undi protes dalam kalangan pengundi di DUN Perai, terutama penyokong Ramasamy.

Dan pada masa yang sama ‘perang mulut’ pula berlaku antara Ramasamy dan Setiausaha Agung Anthony Loke berikutan reaksi yang diberi Loke selepas Ramasamy mengumumkan keluar DAP.

Tidak seperti pimpinan parti lain, Loke  tidak melabelkan Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu sebagai pengkhianat.

Sebaliknya Loke yang sudah hilang rasa hormat kepada bekas pensyarahnya itu berkata, sesiapa yang meninggalkan parti selepas tidak dicalonkan semula dalam pilihan raya adalah orang yang tidak ikhlas dan tidak setia kepada perjuangan parti.

“Mereka hanya menunggang parti demi kedudukan dan jawatan. Apabila tiada lagi jawatan, parti ditinggalkan,” kata Loke yang juga Menteri Pengangkutan.

Ramasamy dalam reaksinya berkata, Loke boleh berkata apa yang dia mahu bagi menenangkan kuasa di sebalik pihak berkuasa dalam DAP dan beliau didakwa tidak mampu menjauhkan parti daripada kronisme dan nepotisme.

Loke juga ‘diserang’ apabila Ramasamy mendakwa beliau menyerah kepada ‘kuasa dominan’ dan gagal membuat tuntutan kepada Anwar bagi mendapatkan perjanjian lebih baik untuk DAP selepas PRU walaupun parti itu memenangi 40 kerusi Parlimen.

“Jika beliau seorang yang demokrat, beliau perlu menjelaskan kepada umum mengapa jawatan kuasa lima orang yang diketuainya enggan melayan permintaan munasabah jawatan kuasa DAP Pulau Pinang dalam memilih calon PRN,” katanya.

Ramasamy mempersoalkan mengapa jawatankuasa ini hanya berpegang kepada kehendak seorang dua untuk menamakan calon pilihan mereka manakala alasan menurunkan calon muda juga tidak berasas lebih-lebih lagi calon ‘payung terjun’.

Dalam hal ini, keluhan Ramasamy diakui Kon Yeow ketika beliau mengulas keputusan penyandang kerusi DUN Perai itu meninggalkan DAP. Nampaknya bukan rahsia lagi bahawa ada sesuatu yang tidak kena berhubung pemilihan calon.

Apa pun tindakan Ramasamy walaupun terlewat mungkin memberi sedikit kesan kepada calon yang diturunkan mewakili Pakatan Harapan (PH) di Perai dan Bagan Dalam. Lebih-lebih lagi calon Pokok itu dikenali sebagai ‘orang yang bekerja’.

Tetapi bagi politik DAP secara keseluruhannya, ia mungkin tidak terjejas teruk malahan tindakan pemimpin keluar parti sebelum ini juga tidak membawa situasi yang lebih parah kepada parti.

Pertentangan dalam DAP bukan sesuatu yang baharu. Jika diselak kembali mungkin ada yang masih ingat Geng Empat (merujuk empat wakil rakyat Melaka keluar parti), mereka yang meninggalkan parti itu mendakwa sudah tidak boleh menerima dan tidak sependapat dengan pendirian baharu serta hala tuju DAP.

Empat wakil rakyat berkenaan ialah anggota Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him dan tiga ADUN, Goh Leong San (Duyong), Lim Jak Wong (Bachang) dan Chin Choong Seong (Kesidang).

Jika diselak lagi, pemimpin utama DAP seperti Kit Siang (KS) dan mendiang Karpal Singh (KS) pernah berhadapan dengan kempen untuk menyingkirkan mereka.

Sekitar tahun 1998, ada usaha untuk menyingkirkan dua KS ini di Pulau Pinang melalui kempen yang dinamakan KOKS (Knock-out Kit Siang, Knock-out Karpal Singh). Kempen itu gagal dan kedua-dua pemimpin itu terus memimpin DAP.

Dan yang meninggalkan DAP juga sebenarnya berat hati kerana masih sayangkan DAP seperti pernah diungkapkan Tong Him: “Keluarnya saya daripada DAP bukan bererti saya membenci parti sebaliknya seperti perumpamaan, orang bercerai tetapi hati masih cinta begitu juga dengan saya walaupun sudah keluar DAP tapi cinta saya tetap pada parti.”

Justeru, tindakan keluar parti melibatkan pemimpin dijangka tidak memberi kesan besar kepada DAP. Lainlah jika pemimpin berkenaan masih bersama parti. Apa pun kita tunggu keputusan DUN Perai dan Bagan Dalam. Dan adakah ‘maharaja’ akan terus berkuasa?

Related posts

Leave a Comment