Kikis stigma UMNO parti rasuah

KUALA LUMPUR 5 Jan. – UMNO perlu menyelesaikan dahulu stigma masyarakat terhadap parti itu yang sering didakwa mengamalkan rasuah sehingga mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil berkata, UMNO sering menjadi sasaran diserang dengan isu rasuah sehingga ideologi itu berjaya ditanam dalam fikiran orang ramai sepanjang 60 tahun menjadi parti dominan.

Katanya, pada PRU15 yang lalu, kehadiran orang muda (undi 18) juga menunjukkan golongan itu menolak UMNO yang diselubungi isu rasuah.

“Orang kita tak kira dia ideologi apa, dia tetap tidak suka rasuah, dia sukakan parti yang bersih. Untuk bergerak ke hadapan, kita kena selesaikan dulu perkara ini kerana selagi tidak diselesaikan, stigma yang kata UMNO ni parti rasuah tak boleh dibuang,” katanya pada majlis ramah mesra Ketua Penerangan UMNO bersama media di sini hari ini.

Hadir sama beberapa orang ketua penerangan negeri termasuk dari Pukau Pinang, Kelantan, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan.

Isham berkata sebagai usaha membersihkan Malaysia daripada perbuatan rasuah, ‘orang baik’ perlu melibatkan diri dalam politik.

Katanya ini kerana jika dunia politik terus dipenuhi ‘orang jahat,’ Malaysia bakal berdepan pelbagai masalah kerana dasar negara akan ditentukan sendiri oleh individu yang mengamalkan perbuatan terkutuk itu.

Mengenai pemilihan dalam parti, Isham yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, UMNO tidak akan meminda perlembagaannya bagi membolehkan dua jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Beliau berkata parti tidak pernah membangkitkan perkara itu dan mendakwa ia dibawa oleh pihak tertentu dengan niat memecahbelahkan UMNO.

Mengulas mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2022 minggu depan, Isham berkata pelbagai perkara berbangkit akan dibincang termasuk isu kekalahan pada PRU15, kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dan pemilihan parti.

“Kita akan bincang mengenai pemilihan UMNO kerana dalam waktu kritikal ini, keadaan ekonomi tidak elok, kita berdepan risiko kerajaan bertukar lagi dan sekiranya UMNO tak stabil, banyak perkara akan terjadi.

“Jika tumbang kerajaan, berlaku lagi ketidakstabilan politik maka pelabur tak akan masuk. Apa akan jadi pada negara kita, jadi sebab itu saya kata pemilihan UMNO ini bukan hanya memberi kesan kepada UMNO sahaja sebaliknya seluruh negara terkesan dan menentukan apa akan jadi pada negara ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment