Penurunan takhta Tuanku Muhriz

SEREMBAN – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan membuat keputusan kolektif bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah sah.

Menerusi satu kenyataan, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat MMKN Negeri Sembilan yang bersidang pada Selasa dan dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Susulan itu, Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan tersebut, menurut Perkara 10 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 bertarikh 19 April 2026 telah ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa.

“Adalah prerogatif mutlak Undang Yang Empat untuk memilih dan menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan prerogatif ini dijamin oleh Perkara 32 dan Perkara 79 UUTKNS 1959 serta Perkara 71 dan 181 Perlembagaan Persekutuan. 

Proklamasi tersebut juga telah ditandatangani oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim pada 3 Ogos 2026 menjadikan proklamasi tersebut sempurna menurut Perkara 10 (2) UUTKNS 1959,” menurut kenyataan itu.

Barisan exco kerajaan negeri juga sebulat suara bahawa proklamasi pemilihan Tuanku Nadzaruddin menurut Perkara 11 UUTKNS 1959 bertarikh 19 April 2026  telah ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang sah dan berkuatkuasa. 

Justeru proklamasi itu adalah teratur dan sempurna menurut UUTKNS 1959.

“Bahawa pentadbiran kerajaan negeri hendaklah mengambil langkah serta-merta melaksanakan pengumuman ini bagi mematuhi sabda dan ketetapan Undang Yang Empat,” menurut kenyataan tersebut.

Related posts

Leave a Comment