KOTA KINABALU 16 Sept. – Ahli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan Rusdin Riman menegaskan pendirian untuk kekal bersama Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Wakil tunggal KDM itu menegaskan demikian susulan parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Ogos lalu.
Bagaimanapun Rusdin masih memegang jawatan dalam kerajaan negeri sebagai pengerusi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri walaupun KDM kini berada di barisan pembangkang negeri.
Menerusi satu kenyataan, Rusdin yang turut memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Sabah menyatakan pendirian untuk berdiri teguh di belakang kepemimpinan pemangku Presiden KDM, Priscella Peter.
Rusdin berkata, kenyataan beliau berhubung kedudukannya dalam kerajaan ketika menghadiri sebuah program di Ranau baru-baru ini tidak wajar disalah tafsir sebagai anjakan pendirian atau cubaan membelakangkan parti.
Beliau berkata, sebarang ketetapan oleh kepemimpinan tertinggi KDM, termasuk hala tuju parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sentiasa dihormati dan di dokong demi kepentingan parti serta rakyat.
Katanya, tugas memperjuangkan nasib rakyat adalah amanah hakiki yang digalasnya selaku wakil rakyat, manakala hal ehwal berkaitan pendirian dan hala tuju politiknya diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan ketetapan bersama kepemimpinan parti.
Pada 14 Ogos lalu, KDM mengumumkan keputusan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri di bawah pimpinan GRS.
Priscella menyatakan ketetapan itu dimuktamadkan secara sebulat suara dengan meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan, selain merintis jalan menarik semula kepercayaan rakyat.
Katanya, KDM memikul tanggungjawab membina semula keyakinan rakyat sebagai persiapan rapi menjelang PRU16 dan bukan sekadar mengorak langkah apabila penggal Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) menghampiri tempoh pembubaran.
Bagi mendepani PRU16, KDM memilih menjalin kerjasama strategik dengan parti tempatan sehaluan bagi membentuk sebuah blok politik yang berteraskan hak serta kepentingan Sabah.
KDM berkemungkinan menjalin kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Nnn
