Tangani segera isu Kadar Dasar Semalaman

KUALA LUMPUR 5 Jan. –  Kerajaan perlu memberi perhatian segera bagi menangani isu kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang memberi kesan kepada peningkatkan perbelanjaan rakyat serta kos sara hidup.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, walaupun kenaikan hanya satu peratus, tetapi bank memperoleh kira-kira RM12 bilion setahun dan ini bermakna bank akan memperoleh kira-kira RM1 bilion sebulan daripada 10 juta peminjam.

“Kerajaan kena segera tangani isu ini, kalau tidak orang akan marah,” katanya pada Majlis Ramah Mesra dan Makan Tengah Hari Ketua Penerangan UMNO Malaysia bersama Agensi Media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Beliau berkata, kesan yang lebih besar akan dirasai oleh rakyat apabila kenaikan dan gaji tidak dapat mengimbangi kenaikan kos sara hidup.

“Purata peminjam kena bayar RM100 sebulan. Apabila Bank Negara Malaysia (BNM) naikkan OPR, bermakna ia akan menaikkan perbelanjaan kita sebanyak RM100 sebulan.

“Apabila kadar OPR naik dan gaji kita tidak dapat mengimbangi kenaikan kos sara hidup, ini hanya akan memburukkan lagi inflasi. Perniagaan perlu membayar lebih untuk sewa dan pengguna juga perlu melakukan perkara yang sama dengan ‘mortgages’ (gadai janji) mereka,” katanya.

Isham yang setuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa OPR ditentukan oleh BNM sebagai badan bebas berkata, persoalan ini harus ditujukan kepada BNM.

“Saya tidak fikir kerajaan pun mengutip RM1 bilion sebulan. Apakah rasional Bank Negara jika mereka benar-benar melakukannya?” katanya.

CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) pada 30 Disember lalu menjangkakan dua lagi kenaikan OPR masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus, berbanding 2.75 peratus sekarang berikutan tekanan inflasi dijangka kekal pada 2023.

Manakala BNM pada Disember lalu dilaporkan akan menaikkan kadar OPR daripada 2.75 peratus kepada 3.25 peratus pada Januari 2023 untuk terus menyelaraskan semula trend pengetatkan monetari global dan untuk mengekang inflasi teras yang terus meningkat.

Sementara itu, Isham mengingatkan individu yang berada dalam kerajaan selaku pembuat dasar perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

“Saya tak setuju dengan kenyataan beberapa pembuat dasar, kalau harga ayam naik cari (ayam) kedai lain, saya tak setuju. Kita kena lihat dari sudut mikro dulu.

“Kalau ada lima kedai ayam, dua kedai jual harga lebih murah, apakah kedai lain akan turunkan harga, tidak, biasanya kedai yang murah akan naikkan harga,” katanya.

Kerajaan juga katanya perlu mengotakan segala janji kepada rakyat bagi memastikan kestabilan kerajaan dan ekonomi negara dapat dicapai.

Related posts

Leave a Comment