Letak jawatan selepas ‘hentam’ DAP

PERMATANG PAUH 16 Sept. – Dua hari selepas ‘menghentam’ DAP di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, Ketua UMNO Permatang Pauh  Mohd Zaidi Mohd Said meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Mohd Zaidi meletak jawatan itu berkuat kuasa 14 September menerusi surat bertarikh sama kepada Exco Pulau Pinang H’ng Mooi Lye yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa.

Menerusi surat yang dikongsi Exco Pulau Pinang itu, Mohd Zaidi turut menyatakan rasa bertanggungjawab, kesal dan memohon maaf atas ucapan yang disampaikan, berhubung ideologi DAP ketika mewakili UMNO Pulau Pinang.

Salinan surat itu turut dihantar kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Datuk Bandar MBSP Baderul Amin Abdul Hamid.

Mohd Zaidi berkata selepas meneliti semula ucapannya pada PAU, beliau menyedari sebagai Ahli Majlis, beliau perlu lebih berhati-hati ketika menyuarakan pandangan mengenai parti yang membentuk kerajaan negeri bersama.

“Saya mengakui ruang berkenaan tidak seharusnya digunakan untuk menyampaikan pandangan berkaitan parti-parti yang boleh menimbulkan persepsi atau salah faham terhadap DAP khususnya dalam konteks kerjasama kerajaan negeri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyedari bahawa UMNO dan DAP mempunyai sejarah, prinsip, pendekatan politik serta ideologi masing-masing yang terbentuk selama bertahun-tahun, dan usaha membina persefahaman serta mencari titik persamaan memerlukan masa, kebijaksanaan, kematangan dan saling menghormati daripada semua pihak.

Beliau yang turut menghormati kepemimpinan Kon Yeow yang sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan rakyat mengakui apa yang berlaku sebagai satu pengajaran penting kepadanya.

“Pandangan dan pendirian individu perlu disampaikan dengan penuh pertimbangan khususnya apabila seseorang itu turut memikul tanggungjawab dalam pentadbiran kerajaan negeri yang dikongsi bersama.

“Setelah mempertimbangkan perkara ini dengan mendalam dan sebagai tanda mengambil tanggungjawab atas kekhilafan itu, saya secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis MBSP, berkuat kuasa 14 September,” katanya.

Zaidi turut menegaskan bahawa keputusan meletakkan jawatan dibuat atas kehendaknya sendiri tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.

Beliau turut menyerahkan kepada parti untuk mencadangkan individu lain yang difikirkan sesuai bagi mengisi kekosongan itu dan meneruskan tanggungjawab serta tugas berkenaan.

Dalam ucapannya pada PAU Sabtu lalu, Zaidi turut mendakwa agenda penyatuan Melayu antara UMNO dan Pas menyebabkan DAP resah.

“DAP mula rasa resah, gelisah. Mereka tak boleh tengok bagaimana muafakat Melayu itu berlaku. Kerana apabila Melayu itu bersatu, nescaya mereka tidak akan berkuasa lagi dalam negara ini.

“Jadi apa cara sekalipun mereka akan gunakan untuk memecah-belahkan perpaduan Melayu-Islam ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi dalam kenyataan di Facebook berkata, sebagai Ahli Majlis MBSP dalam sebuah negeri yang diterajui DAP, beliau menyedari tidak sepatutnya melanggar garis merah dalam tatakelola, adab dan prinsip pentadbiran kerana beliau adalah sebahagian daripada anggota yang dilantik oleh pentadbiran negeri.

“Keputusan ini saya ambil demi ‘melepaskan kaki dan tangan’ untuk saya terus berjuang, berpegang teguh pada prinsip dan idealisme yang dipertahankan parti UMNO/BN selama ini.

“Saya tegaskan dalam surat saya bahawa UMNO dan DAP adalah dua parti yang telah sekian lama berbeza prinsip perjuangan dan tidak mungkin dalam masa sesingkat ini kita mampu melangkah seiringan,” katanya.

Beliau berkata, tidak boleh terus berpura-pura untuk ‘menjadi tunggul’ walaupun menghormati kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan dan Ketua Menteri Pulau Pinang,  Kon Yeow di peringkat negeri.

Mohd Zaidi turut berkata, perbezaan ideologi dan pandangan tidak semestinya meletakkan seseorang dalam perseteruan dan permusuhan sepanjang masa.

“Saya memohon maaf atas kapasiti sebagai ahli majlis yang tidak sepatutnya bercakap sedemikian, ia bukan bermaksud saya menarik balik segala kata-kata yang saya ucapkan kerana saya yakin dan jelas bahawa ucapan saya adalah benar,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment