Hajiji Noor kekal Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU 5 Jan. –  Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor masih kekal sebagai Ketua Menteri selepas apa yang didakwa cubaan menukar kerajaan negeri melalui ‘Langkah Kinabalu’ menemui kegagalan..

Difahamkan ‘Langkah Kinabalu’ itu dikatakan ada kaitan dengan gerakan daripada pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN).

Desas desus itu diperkuatkan lagi dengan laporan akan berlangsung sidang media berasingan daripada Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin.

Bagaimanapun, kedua-dua sidang media itu dibatalkan tanpa maklumat lanjut.

Spekulasi bermula malam tadi selepas GRS mengeluarkan kenyataan mengenai kesediaan membuktikan keabsahan Hajiji jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

Kenyataan Setiausaha Agung GRS,  Masidi Manjun itu menyebut tindakan berkenaan berikutan dakwaan pihak tertentu memperoleh sokongan lebih separuh daripada ADUN untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.

Kerajaan baharu itu dikatakan diwujudkan menerusi kerjasama dan BN dengan Mohd Shafie dikatakan bakal dilantik semula sebagai Ketua Menteri.

Sementara itu Bung Moktar selepas pertemuan pemimpin UMNO Sabah petang tadi berkata tiada apa-apa yang berlaku, selain hanya mesyuarat atau pertemuan biasa bersama pemimpin UMNO negeri.

“Tiada apa-apa hanya ‘meeting-meeting’ (perjumpaan) saja. Kami bincang mengenai masa depan parti,” katanya ketika meninggalkan Bangunan UMNO Sabah bersama pemimpin UMNO negeri yang lain.

Setiausaha Akhbar Bung Moktar, Jaafar Abd Wahid, pula berkata pertemuan pemimpin UMNO Sabah petang tadi adalah perjumpaan bagi membincangkan hal parti di negeri ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan GRS, Joniston Bangkuai, ketika mengulas perkembangan itu berkata, pemimpin politik seharusnya memberi perhatian untuk membangunkan Sabah.

Katanya, mereka yang berhasrat mengambil alih kerajaan negeri seharusnya menunggu sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang untuk menentukan sama ada mereka mendapat sokongan rakyat.

“Mengapa membuat rancangan untuk menggulingkan kerajaan negeri pada waktu di mana sepatutnya fokus kita adalah untuk menyegerakan dan mempergiatkan usaha untuk membangunkan negeri?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Joniston berkata beliau percaya majoriti rakyat Sabah menentang sebarang rancangan atau tindakan menggulingkan kerajaan negeri ketika ini.

Related posts

Leave a Comment