Keputusan MMKN tidak boleh atasi UUTKNS

SEREMBAN 16 Sept. – Siapa Yang di-Pertuan Besar terus menimbulkan persoalan apabila Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid, menegaskan kenyataan atau keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak boleh mengatasi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Malah, beliau berkata, keputusan MMK juga tidak dengan sendirinya boleh menghidup atau mengesahkan suatu proklamasi yang telah diputuskan oleh Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sebagai tidak sah.

Katanya, DKU telah membuat ketetapan pada 31 Julai lalu dan menegaskannya semula pada 13 September bahawa proklamasi pada 19 April 2026 adalah tidak sah, sekali gus Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Sehubungan itu, semua pihak hendaklah menghormati UUTKNS, bidang kuasa DKU serta ketetapan yang telah dibuat menurut bidang kuasanya.

Institusi Raja dan Institusi Undang di Negeri Sembilan hendaklah dipelihara dengan penuh tertib dan hormat. Tiada individu, institusi pentadbiran atau mesyuarat EXCO yang boleh meletakkan dirinya mengatasi UUTKNS.

Semua pihak hendaklah menjaga keamanan Negeri Sembilan dan mengelak sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam pentadbiran negeri atau menjejaskan kemuliaan institusi beraja dan adat Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam ini.

Beliau mengulas kenyataan media atas nama Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, hari ini, berhubung proklamasi bertarikh 19 April 2026 yang dikatakan menyentuh kedudukan Tuanku Muhriz.

Hassan berkata, beliau berpandangan perkara sebesar itu hendaklah ditangani dengan penuh tertib serta berlandaskan UUTKNS 1959.

Katanya, ia tidak boleh ditentukan semata-mata melalui keputusan pentadbiran atau kenyataan media dan beliau menekankan bahawa persoalan pokok bukan semata-mata sama ada Undang Yang Empat mempunyai kuasa berkaitan pemilihan atau penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar.

Sebaliknya, beliau berkata, persoalan lebih asas ialah sama ada kuasa itu telah dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya segala syarat dan proses yang ditetapkan oleh UUTKNS.

“Kewujudan sesuatu kuasa tidak bermakna tatacara pelaksanaannya boleh diketepikan. Perkara 10 UUTKNS 1959 menetapkan proses yang perlu dipatuhi sebelum kuasa berkaitan penurunan takhta boleh dilaksanakan.

“Antara persoalan asas ialah sama ada siasatan penuh dan lengkap sebagaimana dikehendaki telah dilaksanakan sebelum Proklamasi 19 April 2026 dibuat,” katanya.

Hassan menegaskan DKU telah mengambil pendirian siasatan sedemikian tidak pernah dilaksanakan, dan Tuanku Muhriz juga tidak diberikan notis atau peluang untuk didengar.

Katanya, kegagalan memenuhi syarat asas itu menimbulkan kecacatan fundamental terhadap proklamasi berkenaan.

Beliau berkata, Perkara 16(3) UUTKNS menetapkan nasihat DKU mengenai persoalan adat Melayu adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

“DKU telah memutuskan Proklamasi 19 April 2026 tidak sah, kerana tiga daripada empat penandatangan tidak memegang jawatan Undang yang sah menurut adat Luak masing-masing.

“Oleh itu, dakwaan dalam kenyataan MMK Proklamasi telah ditandatangani oleh Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa, adalah bercanggah secara langsung dengan ketetapan DKU mengenai kedudukan adat pihak-pihak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan tandatangan Menteri Besar terhadap proklamasi itu juga menimbulkan persoalan serius.

Sebelum ini, katanya, Menteri Besar telah menyatakan secara terbuka bahawa beliau menandatangan tanpa rela serta secara paksaan, dan laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment