Menunggu keajaiban dibawa Anthony Loke

TIDAK ada apa yang mahu ditulis lagi mengenai perkhidmatan KTM Komuter. Pusing-pusing masalah yang sama. Orang Tanjong ‘kata pi mai pi mai tang tu’. Sejak komuter diperkenalkan sehingga saya pencen, masalah tetap sama.

Menteri juga bertukar ganti. KTM atau Menteri Pengangkutan, Anthony Loke boleh selak dan semak balik tulisan saya di ruangan Selak Utusan Malaysia sebelum ini. Kebanyakannya isu pengangkutan awam yang ditulis berkaitan komuter.

Memang ada satu ketika perkhidmatannya bagus tetapi kebanyakannya amat mengecewakan. Waktu operasi perkhidmatan sering terganggu. Masa menunggu bukan semakin baik tetapi semakin ‘karut’ menyebabkan penumpang jadi ‘sardin’.

Kemudahan yang disediakan di sekitar stesen juga pasang surut. Ini termasuk mesin tiket, pengimbas ‘tiket’ keluar masuk, siaraya, lif, eskalator. Di sesetengah stesen, surau dan tandas juga mengecewakan. Mungkin untuk surau boleh kutip derma.

Jawapan paling popular terhadap persoalan ini sudah tentulah “Kesulitan hari ini adalah untuk keselesaan masa depan”.  Lebih kurang begitu. Maknanya pengguna hari ini tanggunglah sengsara demi keselesaan anak cucu akan datang.

Semalam, di stesen KTM Bangi matlamat saya untuk mendapatkan tren 11.49 pagi tetapi kecundang kerana tren itu tak muncul. Yang datang 12.39 tengah hari. Apabila tempoh masa menunggu lama, maka di dalam koc terjadi seperti sardin.

Mujurlah bukan musim Covid-19. Bayangkan jika suasana sardin itu ketika Covid-19. Mana ruang nak cari ‘jaga penjarakan anda’.

Saya tidak pasti sama ada jadual semalam berubah disebabkan Isnin cuti ganti Krismas. Apa formula yang diguna pakai KTM dalam memenuhi permintaan pengguna pada hari cuti? Apakah kekerapan tren yang sebenarnya?

Pengguna atau penumpang sudah “lali” dengan perkhidmatan KTM komuter ini. Mereka terpaksa menelan kesukaran ini kerana tidak ada pilihan lain terutama bagi kawasan yang tidak ada perkhidmatan LRT atau MRT.

Harapan kini terletak kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook. Beliau sudah pun turun ke lokasi untuk buat tinjauan dan memahami masalah pengguna.

Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga sebelum ini mengharapkan kehadiran semula Loke sebagai Menteri Pengangkutan yang pernah memikul tanggungjawab itu mulai Mei 2018 hingga Februari 2020.

Begitu besar harapan Presiden kesatuan itu Abdul Razak Md Hassan terhadap Loke berdasarkan prestasi sebelum ini.

“Pihak kesatuan turut percaya, sekiranya pelantikan Menteri Pengangkutan ini dibuat kepada YB Anthony Loke, maka pengangkutan awam, khususnya akan menerima limpah kebaikan yang terutamanya membantu bagi peningkatan taraf pengangkutan awam yang lebih efisien,” kata Abdul Razak.

Sekarang Loke sudah ada ‘di depan mata’. Dengan slogan kempen Pakatan Harapan (PH)  iaitu ’ Kita Boleh’ sudah tentu sesuatu boleh dikakukan.

Harap Loke boleh melakukannya dan tidak sekadar memberi jawapan yang umum sudah tahu – naik taraf sistem dibuat untuk keselesaan masa depan. Adakah pengguna masa kini tidak layak mendapat perkhidmatan yang cekap?

Pengguna sedang menunggu ‘keajaiban’ yang akan berlaku khususnya terhadap perkhidmatan KTM Komuter. Keajaiban itu kerana selama ini pengguna disogokkan dengan naik taraf landasan sebagai kekangan meningkatkan mutu perkhidmatan.

Benar, tidak seperti di jalan raya atau lebuh raya, lencongan boleh dibuat. Tetapi di landasan rel ini, jika satu laluan terjejas, tinggal satu laluan. Memang boleh lawan arus tetapi ini mengambil masa. Maka apa lagi pilihan yang ada?

Selain di landasan, penyelenggaraan di stesen juga perlu diberi perhatian. Disebabkan masa menunggu yang lama, sediakanlah tempat duduk lebih selesa, tandas dan surau yang lebih baik.

Di stesen Kajang contohnya apabila hanya satu platform berfungsi, tren ke utara dan selatan berkongsi platform yang sama. Eskalator pula hanya satu. Naik sahaja. Turun gunalah tangga yang tinggi itu. Maka pastikan lif sentiasa ‘tip top’.

Jangan dibiarkan lif rosak terlalu lama. Jika orang muda tidak ada masalah tetapi bagi warga emas, ibu mengandung, anak-anak kecil, orang kurang upaya (OKU) dan yang membawa beg besar, maka menuruni tangga akan menimbulkan masalah.

Akhirnya, di sini disertakan komen rakan Facebook saya Azhari Haron berhubung masalah menunggu tren ini. Komennya:

“KTM ni service nya dulu kini dan selama lamanya masih di tahapnya sepertinya 50 tahun dulu…Saya nak cerita pengalaman semasa Rel Car dari Alor Setar ke Butterworth.. Masa itu lebih baik dari sekarang dari di ibu negara Malaysiaku…

Dah tahu permintaan TREN di ibu negara Malaysiaku adalah tinggi, sepatutnya kekerapan TREN ini ialah setiap 5 min-8min sekali. Baru’lah tak sesak spt ikan sardin Cap Ayam..Mungkin rolling Stocks tak cukup or rosak..

KTM Berhad .. Anwar Ibrahim PM Rakyat

Sila ambil perhatian atas keluhan rakyat marhean Malaysiaku ni…

Hanya KTM @ Komuter bandar yg mereka harapkan, tapi hampa sekali harapan mereka..Kasihani lah mereka..Jgn bagi alasan kononnya ada kerja2 naik taraf landasan Klang Valley….utk kepentingan masa depan penumpang KTM..

Alasan yg sama saya dengar sejak 5 tahun lalu.

Lepas ni plak atas alasan ada kerja2 naik taraf landasan KL ke JB plak 🤣😅

Dan yang lucunya, seorang kagi rakan Arzock  Nassar dalam komennya “Nama pun KTM, Kena Tunggu Maa…”.

Saya tak tahu nak cakap apa. Sama-samalah kita tunggu solusi yang bakal dibawa okeh Anthony Loke atau pengguna akan diminta terus bersabar kerana kesulitan hari untuk keselesaan masa depan. Dan jangan pula mengajar pengguna, jika tahu ada masalah jangan guna komuter!

Related posts

Leave a Comment