SEPANG 29 Mei – Dakwaan kononnya Bersatu akan kembali bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim adalah fitnah dan rekayasa jahat yang sengaja dimainkan pihak tertentu bagi memecahkan perpaduan dalam parti dan Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali, berkata amat malang, tatkala umat Islam sedang merayakan hari-hari Tasyrik, muncul kumpulan orang politik dan media yang asyik meraikan fitnah dan rekayasa jahat yang berlegar dalam masyarakat.
“Menjunjung perlembagaan Bersatu dan dasar perjuangan parti yang berteraskan Bersatu, Beramanah dan Bermaruah, Bersatu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Bersatu akan kembali bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan terdapat desas-desus bahawa Bersatu akan kembali kepada Pakatan Harapan (PH) susulan ketegangan hubungan parti itu dengan Pas.
Bagaimanapun Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan kerjasama membabitkan Bersatu dengan PH tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana platform mesyuarat parti sebelum ini.
Menerusi kenyataan itu, Mohamed Azmin turut menangkis dakwaan kononnya wujud pertemuan serta perbincangan antara pimpinan parti itu dengan PKR bagi tujuan mewujudkan kerjasama dengan PH.
“Dakwaan dan fitnah yang jahat dan tidak berasas ini dikutip dari kumpulan orang politik yang muflis nilai-nilai perjuangan dan percubaan mereka untuk menutup kegagalan pengkhianatan dalam gerakan Langkah Bangkok,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya berhati-hati terhadap penyataan dan berita daripada pihak yang disifatkannya sebagai golongan ‘fasiq’ yang cuba menghalang kemaraan Bersatu.
Beliau turut menegaskan pendirian Bersatu kekal utuh bersama PN dan akan terus mempertahankan muafakat politik gabungan itu secara berprinsip.
Katanya, Bersatu kini semakin berkembang dengan sokongan rakyat dan golongan profesional, selain mendapat kepercayaan menerusi pengalaman kepemimpinan Presiden parti, Muhyiddin Yassin.
“Bersatu bertekad akan terus kekal mempertahankan muafakat politik dalam PN dengan teguh dan berprinsip untuk membina Malaysia yang gagah, bermaruah dan progresif untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
Nnnn
