SEPANG 29 Mei – Bekas Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan, menolak dakwaan kononnya Hamzah Zainudin memperalatkan Pas, UMNO dan institusi istana untuk memecahbelahkan Bersatu.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, dakwaan serta kritikan dilemparkan terhadap bekas Timbalan Presiden Bersatu itu oleh Dr Marzuki Mohamad iaitu bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin Yassin, adalah tidak berasas.
Sebaliknya Wan Saiful dalam satu hantaran menerusi Facebook menyifatkan kenyataan tersebut sebagai cubaan untuk menutup kelemahan pihak tertentu dalam Bersatu.
“Nampaknya mereka ini terlalu desperado, sehingga terpaksa menuding jari kepada orang lain untuk tutup kelemahan sendiri. Saya tak mahu berselindung. Saya nak jawab Marzuki straight forward dan berfakta.
Marzuki tuduh Hamzah jaja nama Presiden Pas. Marzuki kaitkan pertemuan Tan Sri Abdul Hadi Awang dan pemimpin Pas dengan Hamzah di White House.
Saya ada dalam pertemuan 18 Februari 2025 itu. Selain saya dan Hamzah, ada Datuk Dr. Radzi Jidin, Datuk Sri Saifuddin Abdullah dan Wan Ahmad Fayhsal. Kalau Radzi Jidin ada maruah, dia sepatutnya boleh sahkan kandungan pertemuan itu. Jangan biarkan Marzuki bercakap dalam kejahilan,” katanya.
Semalam Marzuki mendakwa Hamzah menggunakan Pas dan UMNO sebagai modal untuk memecah-belahkan Bersatu, sekali gus mengambil alih parti itu daripada Muhyiddin.
Menurut beliau, Hamzah enggan bersaing merebut jawatan Presiden daripada Muhyiddin pada pemilihan parti kerana faktor sokongan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu masih kuat.
Sebaliknya, katanya Hamzah dikatakan memujuk Muhyiddin mengusahakan pelan peralihan parti dengan bekas Ketua Pembangkang itu dinamakan sebagai Timbalan Presiden.
Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, Pas bukan dilahirkan semalam sebaliknya sudah lama memerintah negeri dan berpengalaman di Persekutuan, mempunyai kebijaksanaan politik mereka sendiri dan tidak mungkin boleh diperalat oleh sesiapa.
“Menuduh Hamzah atau sesiapa saja mempergunakan Pas adalah bukti mereka menghidap denial syndrome yang serius.
Kalau Pas mahu menilai semula hubungannya dengan Bersatu, puncanya tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan nasihat-nasihat salah yang diberikan oleh orang sekeliling Muhyiddin,” katanya.
Mengenai istana, beliau menegaskan Hamzah tidak menjaja hubungannya dengan pihak istana seperti dituduh Marzuki, tetapi Ahli-Ahli Parlimen boleh membaca apa yang tersirat, boleh mengagak siapa yang lebih disenangi pihak istana.
Tegasnya, hubungan Muhyiddin dan istana tidak mesra malahan cerita istana murka disebabkan sidang media Muhyiddin ketika menolak idea Kerajaan Perpaduan sudah jadi rahsia terbuka.
Di samping itu, Muhyiddin juga didakwa di mahkamah kerana ucapannya dilihat mempersoal kebijaksanaan Tuanku Sultan Abdullah
Wan Saiful yang menjadi antara kelompok terawal ahli MPT sebelum Bersatu menjadi kerajaan menjelaskan, Hamzah menyertai Bersatu bukan kerana Muhyiddin sebaliknya atas pelawaan Dr. Mahathir Mohamad bagi membantu Tun ketika itu.
Justeru naratif yang digambarkan Marzuki kononnya Hamzah tidak mengenang budi Muhyiddin adalah karut kerana selama ini Hamzahlah yang paling banyak membantu Muhyiddin dan parti.
“Kenapa Marzuki cuba sembunyikan hakikat bahawa tanpa Hamzah, Muhyiddin mungkin tidak menjadi PM8? Kenapa tak sebut bahawa Muhyiddin lupa jasa orang terhadap dia?
Marzuki ada di rumah Muhyiddin pada malam 26 Februari 2020, ketika Muhyiddin meminta pertolongan Hamzah untuk bantu cita-citanya jadi Perdana Menteri. Begitu bersungguh-sungguh Muhyiddin mencari Hamzah
Hamzahlah yang mendapatkan sokongan Ahli Parlimen Pas dan UMNO hingga Muhyiddin dapat angkat sumpah sebagai PM8 pada 1 Mac 2020 dengan sokongan 114 Ahli Parlimen,” katanya.
Wan Saiful juga menjelaskan mengenai peranan besar Hamzah yang memujuk Najib Tun Razak, Zahid Hamidi dan Pas demi memastikan Muhyiddin mendapat majoriti sedangkan Azmin hanya membawa 11 Ahli Parlimen PKR.
Muhyiddin juga melantik Hamzah sebagai Setiausaha Agung dan ketika diminta membantu kewangan parti dan bahagian, Hamzah mengeluarkan duit poket sendiri selama berbulan dan sehingga sekarang duit berkenaan tidak dibayar balik
Hamzah juga banyak mengeluarkan dana sendiri untuk memastikan operasi Bersatu dan Perikatan Nasional terus berjalan sedangka ketika Azmin menjadi Setiausaha Agung, Pejabat Perikatan Nasional pun tidak dioperasi dan ditutup.
Menjawab gambaran yang diberi Marzuki kononnya Hamzah menjadi Timbalan Presiden hanya kerana endorsement Muhyiddin, Wan Saiful mendakwa sebaliknya.
“Bacaan saya, sebenarnya Muhyiddin nak selamatkan Peja. Muhyiddin tahu jika berlaku pertandingan, Peja akan kalah teruk. Muhyiddin tidak mahu hilang Peja kerana dia perlukan sokongan Peja.
Hamzah tidak perlu endorsement Muhyiddin kerana pada masa itu pun beliau ada kekuatan sendiri. Buktinya selepas dipecat, 18 Ahli Parlimen, ramai ADUN dan lebih 120 Ketua Bahagian memilih bersama beliau,” katanya.
Wan Saiful juga menjelaskan bahawa Hamzah sudah move on dari Bersatu dan langsung tidak bercakap tentang Bersatu sebaliknya lebih tertumpu kepada agenda RESET.
“Kami bersama Hamzah kerana percaya kepada kepimpinan dan hala tuju beliau, kerana selama ini Hamzah yang banyak menggerakkan Bersatu dan menyusun gerak kerja Pembangkang.
Sepatutnya Marzuki nasihat Muhyiddin supaya jaga Bersatu elok-elok, jangan sampai PH tak terima kemasukan bila sampai masanya nanti. Tak perlu sorok kerana politik ini ada mata yang melihat dan telinga yang mendengar,” katanya.
Nnnn
