Zuraida dipecat, dua ADUN dilucut jawatan

SEPANG 27 Dis. – Parti Bangsa Malaysia (PBM) memecat 11 pemimpinnya termasuk bekas Ahli Parlimen Ampang,  Zuraida Kamaruddin yang sebelum ini pernah mendakwa sebagai Presiden dan Setiausaha Agung Nor Hizwan Ahmad.

Dua lagi pemimpin PBM, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Talha dan ADUN Sementa, Daroyah Alwi pula masing-masing digugurkan daripada jawatan timbalan presiden dan ketua wanita tetapi kekal sebagai ahli.

Unit Penerangan PBM berkata, mereka antara 13 individu yang diberi surat tunjuk sebab oleh Jawatankuasa Disiplin PBM pada 19 Disember lalu.

Sebelas pemimpin itu dipecat kerana gagal memberi maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin PBM dalam tempoh tujuh hari.

Menurut kenyataan itu, tindakan ke atas semua 13 individu itu diambil selepas Ahli Jawatankuasa Disiplin parti membuat perbincangan lanjut hari ini mengikut Perlembagaan parti.

“Mereka telah diberi peluang untuk menjelaskan dan membela diri dan diberi tempoh tujuh hari, akan tetapi telah gagal memberikan maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin Parti PBM.

Maka dengan ini, demi kepentingan Parti PBM, Jawatankuasa Disiplin PBM telah membuat keputusan bahawa keahlian, jawatan individu-individu tersebut ditamatkan berkuat kuasa serta-merta pada 27 Disember 2022,” kata kenyataan itu.

Turut dipecat Naib Presiden 1, Rahimah Majid; Naib Presiden 2, Dr Sathiskumar; Naib Presiden 3, Muhammad Saiful Bahari Sahari; Ketua Pemuda, Na’im Brundage; dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid.

Empat Ahli Majlis Tertinggi PBM juga dikenakan tindakan yang sama  iaitu Ab. Aziz Ab. Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Zuraida sebelum ini dilapor menyifatkan Presiden PBM, Larry Sng sebagai tidak matang dan angkuh dalam menguruskan PBM selain membuat ugutan.

Awal Oktober lalu, Perhimpunan Agung Tahunan PBM dikatakan membuat keputusan untuk Zuraida secara rasmi akan mengambil alih kepemimpinan parti daripada Sng.

Keputusan Perhimpunan Agung Tahunan PBM itu kemudiannya diluluskan oleh mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu namun Sng menyekat peralihan kuasa itu dan menegaskan beliau masih presiden parti menurut Jabatan Pendaftar Pertubuhan.

Beliau kemudian mengisytiharkan mesyuarat Majlis Tertinggi PBM yang meluluskan peralihan jawatan presiden kepada Zuraida tidak sah dan menggantung jawatannya sebagai pengganti dan 12 anggota parti lain.

Related posts

Leave a Comment