SEPANG 29 Mei – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mencabar Pemuda UMNO memastikan UMNO yang dikatakan sudah “cukup kuat” untuk bergerak solo bertanding di kesemua 222 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pada masa yang sama, sayap DAP itu dalam satu kenyataan juga mencabar Pemuda UMNO supaya parti itu memutuskan kerjasama dengan PH di semua negeri tanpa pengecualian.
Menerusi kenyataan itu, DAPSY turut mempersoalkan, jika Pemuda UMNO betul-betul yakin untuk“bergerak solo”, mengapa menteri-menteri UMNO tidak mengikut saranan untuk meletakkan jawatan dan keluar kerajaan?
“Adakah semua masih selesa pegang jawatan? Adakah ini bermakna menteri-menteri UMNO sendiri pun tidak percaya kepada seruan Pemuda UMNO?
“Kalau benar UMNO mahu “all out”, DAPSY menyarankan Pemuda UMNO mendesak para Menteri UMNO mengambil pendirian yang sama, bukan hanya menjerit dan berlagak hero di dalam media sosial,” menurut kenyataan itu.
Hakikatnya kata DAPSY yang turut merujuk keputusan PRU lalu di Melaka, UMNO sebenarnya memerlukan PH untuk terus bernyawa
Semalam Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh berkata, Pemuda DAP tidak perlu “menggelabah” dengan cadangan UMNO Johor bergerak solo kerana tiada sebarang perjanjian menetapkan BN wajib menghadapi PRN atau PRU bersama PH.
Beliau turut mencabar DAP menarik sokongan daripada kerajaan jika benar mahu menguji kekuatan masing-masing melalui pembubaran Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN).
“DAPSY jangan cakap sahaja di media sosial, buktikan syor DAPSY supaya Parlimen dibubarkan segera disambut oleh pemimpin kalian. Bukan setakat bubar Parlimen, malah tarik juga sokongan daripada kerajaan negeri yang dibentuk bersama BN.
Tarik sokongan di Perak. Tarik sokongan di Pahang.Kita lawan secara gentleman dan serah kembali mandat kepada rakyat,” katanya.
Sebagai reaksi balas terhadap kenyataan Dr Akmal itu, DAPSY menempelak Ketua Pemuda UMNO itu yang kerap mencabar orang lain supaya jangan hanya pandai menjerit, tetapi haruslah menunjukkan pendirian yang jelas melalui tindakan sebenar, bukannya tidak berani untuk meletakkan jawatan sehingga kini.
“Kalau Pemuda UMNO betul-betul bermaruah, maka jangan bagai melepaskan batuk di tangga. Lawan semua kerusi di semua negeri, tanpa rundingan dan tidak melalui pintu belakang. Pastikan betul-betul konsisten,” kata DAPSY
DAPSY juga mengingatkan Pemuda UMNO untuk tidak mewujudkan episod yang memalukan, di mana ada negeri yang kononnya ingin “solo”, tetapi ada pula negeri ingin kekal Kerajaan Perpaduan, dan kerusi Parlimen dibawa ke meja rundingan.
“Pemuda UMNO tidak patut mendiamkan diri sekiranya ada mana-mana pimpinan UMNO negeri yang sudah bermula untuk berunding dengan PH, bantahlah pemimpin negeri tersebut secara lantang, jangan hipokrit dan double standard,” tegas DAPSY.
Dalam pada itu, DAPSY turut mengkritik segelintir pemimpin Pemuda UMNO yang cetek pemikiran dan hanya pandai menulis hantaran yang menunjukkan bahawa mereka langsung tidak memahami analisis data Tindak Malaysia berkaitan landskap pilihan raya Johor.
Di Melaka realitinya pada PRU lepas, BN tewas dalam kesemua enam kerusi Parlimen.
“Fakta ini jelas menunjukkan bahawa UMNO sebenarnya yang memerlukan PH untuk terus bernyawa. Oleh itu, Pemuda UMNO usahlah menjual cerita bahawa kononnya BN “boleh menang sendiri” dan seolah-olah orang ramai tidak berupaya untuk membaca keputusan PRU lepas,” tegas DAPSY.
