Kabinet: Bukan mudah agih “sama rata sama rasa”

KHABARNYA petang ini akan diketahui siapa menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan, hampir dua minggu selepas rakyat memilih. Setakat ini, hanya Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengangkat sumpah jawatan.

Situasi ini bukan sesuatu yang luar biasa. Seperti berlaku pada  Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018, pembentukan Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr. Mahathir Mohamad juga mengambil masa.

Pada PRU lalu, Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh, pada 10 Mei sehari selepas PH diumumkan memenangi PRU14 yang menyaksikan tamatnya pemerintahan 61 tahun Barisan Nasional (BN).

Ini diikuti pengumuman beberapa orang lagi anggota Kabinet pada 12 Mei  yang menamakan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (Menteri Kewangan), Presiden Amanah Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan) selain Presiden PKR  Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.

Situasi itu berlaku ketika PH menang secara sendirian dengan gabungannya yang mempunyai kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan. Tetapi hari ini, PH yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan UPKO terpaksa berkongsi kuasa dengan musuh musuh politiknya untuk membentuk kerajaan.

PH tidak mampu menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri tanpa sokongan BN atau UMNO yang “menggunakan strategi menghadapi PRU” dengan tagline “No Anwar, No DAP, No Bersatu”.

Berjaya atau tidak strategi itu? Tak pasti bagaimana untuk menilainya. Apa pun ternyata Anwar menang selesa di luar gelanggang, iaitu Tambun. DAP hilang beberapa kerusi sementara Bersatu dan Pas lebih bertenaga bersama Perikatan Nasional (PN). Slogan seolah bertukar kepada No BN !

Kembali kepada Kabinet, apabila PH mengharap sokongan BN serta gabungan lain termasuk GPS, maka pembentukan Kabinet menjadi sukar.

Pada masa yang sama, janji Anwar mengecilkan saiz Kabinet, tetapi terpaksa melayan tuntutan parti ‘komponen’ termasuk beberapa parti politik yang membentuk kerajaan menjejaskan kelancaran itu. Mungkin tawar menawar tidak dapat dielakkan.

Tidak kurang juga isu kluster mahkamah yang turut mempengaruhi kelancaran itu.

Begitulah terjadinya apabila PH tidak mempunyai kerusi yang cukup sebaliknya terpaksa berkongsi kuasa. Agihan secara adil amat penting supaya tidak ada pihak yang merajuk. Seperti kata dua penyamun ‘Badan dan Nyawa’ dalam filem Nujum Pak Belalang yang mahu membahagikan harta curian “sama rata sama rasa”.

Jika si penyamun itu menggunakan kaedah satu untuk kau, satu untuk aku, dua untuk kau dan dua untuk aku dan seterusnya, ia juga masih tidak mampu memuaskan semua pihak.

Akhirnya merujuk kepada filem itu, akibat pembahagian yang tidak berkesudahan,  , harta sepencurian (pinjam ayat Mat Sabu) dua penyamun itu ‘Badan dan Nyawa’ tidak dapat dibahagikan sama rata sama rasa sebaliknya harta curi itu jatuh ke tangan orang lain yang berlagak sebagai ahli nujum.

Apa pun kita bersyukur Anwar sudah sah sebagai PM bukan lagi PM tepi. Semoga Kabinet Perpaduan di bawah pimpinan Pengerusi PH ini dapat bergerak dengan lancar sehingga habis penggal, bukan lagi 22 bulan atau 17 bulan atau 15 bulan.

Related posts

Leave a Comment