SEPANG 4 Jun – Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa mengemukakan ‘formula’ pembahagian kerusi antara Pas dan UMNO sekiranya mahu menjayakan MN 2.0 bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang bakal menjelang.
Dengan mengambil contoh Johor dan Kelantan yang merupakan kubu UMNO dan Pas, Annuar mencadangkan di Johor, UMNO bertanding sehingga 90 peratus kerusi pengundi majoriti Melayu, manakala Pas antara 10 hingga 20 peratus kerusi.
Tambah beliau, Kelantan sebagai kubu Pas perlu pertimbangkan 10 hingga 20 peratus kerusi kepada UMNO, manakala selebihnya ditandingi oleh parti itu.
Annuar berkata, pertembungan antara saranan MN 2.0 dengan keputusan UMNO yang kini menggerakkan Rumah Bangsa adalah satu jalan bagi menjayakan semula agenda penyatuan ummah.
“Kedua-duanya ada persamaan. Ia memerlukan muafakat dan penyatuan, terutamanya antara UMNO dan Pas atau Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
“Pada saya, nama tidak penting. Jika ada persetujuan antara kedua-dua parti, gunalah nama Rumah Bangsa atau Musyawarah Nasional atau MN yang pernah diutarakan oleh UMNO.
Annuar menegaskan, sekiranya UMNO memilih untuk menolak pelan rundingan dan kekal mempertahankan hubungannya dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), maka Pas perlu terus menggalas komitmen membentuk muafakat besar menuju PRU16.
“Bagi saya, yang penting orang Melayu dan Islam serta parti mereka perlu muafakat dan tidak berpecah. Pemimpin mesti berani meneroka muafakat atas dasar persamaan matlamat dan ketepikan perbezaan dan masa lampau,” katanya.
Semalam Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sudah sampai masanya MN 2.0 dijayakan bagi memperkukuh kedudukan politik Melayu serta umat Islam menjelang PRN Johor diikuti beberapa PRN lain.
Katanya kerjasama politik yang pernah terjalin antara parti-parti politik Melayu sebelum ini wajar dihidupkan semula demi masa depan bangsa dan ummah.
Nnnn
