SEREMBAN 4 Jun – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, secara rasmi dibubarkan pada Jumaat 5 Jun bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Menteri Besar, Aminuddin Harun, mengumumkan perkara itu dalam sidang media khas di kediamannya, di sini, malam ini.
Beliau berkata, pembubaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada majlis menghadap yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, semalam.
“Alhamdulillah jam 8.30 malam tadi, saya telah menghadap DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap dan Tuanku telah memperkenankan pembubaran DUN mulai esok 5 Jun 2026, hari Jumaat,” katanya.
Aminuddin berkata, pembahagian kerusi antara PKR, DAP dan Amanah telah diselesaikan dan Pakatan Harapan (PH) akan bertanding semua 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.
Beliau juga yakin pembubaran DUN itu dapat menamatkan kemelut politik dan kepemimpinan yang berlaku.
“Mula-mula dia tarik dan kemudian sekejap dia sokong dan kemudian tak sokong, jadi sekarang kita serahkan mandat semula kepada rakyat,” katanya.
Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berkata, beliau mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 bagi pembubaran DUN berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya akan menghantar notis pembubaran itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk pihak berkenaan menetapkan tarikh penamaan calon dan juga hari mengundi.
“Berhubung kehadiran Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menghadap Tuanku petang tadi, ia kerana Tuanku inginkan persetujuan atau pengesahan berkaitan pembubaran DUN,” katanya.
Sidang media itu diakhiri dengan laungan reformasi serta lawan tetap lawan oleh para penyokong..
Pada PRN ke-15 menyaksikan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan di Negeri Sembilan apabila menguasai 31 kerusi DUN, iaitu PH 17 diikuti BN 14 manakala Perikatan Nasional (PN) pula lima kerusi.
Negeri Sembilan menjadi negeri kedua membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada PRN selepas Johor yang berbuat demikian pada Isnin lalu.
Nnn
