SEPANG 4 Jun – Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong mendakwa UMNO mahu menggunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk mengembalikan kedudukannya sebagai parti dominan, seperti pada era satu parti pra-2018.
Katanya, sebagai kubu, UMNO Johor berpandangan perlu mengadakan PRN terlebih dahulu dan dengan mengandaikan kemenangan besar, pemimpinnya yakin ia akan menjadi sumber kekuatan bertanding solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Bagaimanapun, PRU 2018 telah mengakhiri era sistem “satu parti” mendominasi landskap politik Malaysia,dan tiada lagi parti dominan sebaliknya semua parti perlu bekerjasama dan bertolak ansur bertanding serta menubuhkan kerajaan.
Justeru, Chin Tong menerusi kenyataan di Facebooknya mengingatkan Barisan Nasional (BN) agar tidak menganggap kemenangan dalam PRN Johor sebagai jaminan kejayaan sepenuhnya pada PRU16.
Beliau mendakwa BN Johor sangat yakin akan memenangi lebih daripada 40 kerusi yang dimiliki sekarang, malahan ada kalangan pemimpin yang yakin mampu menang 45 hingga 48 kerusi pada PRN kali ini.
“Sementara kita mengakui BN mempunyai kelebihan dalam PRN Johor, faktanya ialah kemenangan di peringkat negeri tidak semestinya menjamin kejayaan pada PRU akan datang.
Buktinya dapat dilihat dalam keputusan PRU 2022. Daripada 26 kerusi Parlimen Johor, BN hanya memenangi sembilan kerusi berbanding PH mendapat 15 kerusi.
Semoga para pemimpin UMNO dan BN sedar bahawa tiada rakyat Malaysia yang waras mahu kembali kepada era satu parti dengan UMNO sebagai parti dominan yang menentukan segala-galanya untuk rakyat. Zaman sudah berubah,” katanya.
Pada PRU 2022, Chin Tong berkata, bagi 165 kerusi Parlimen di Semenanjung, PH dan PN masing-masing memenangi 71 kerusi manakala BN hanya 23 kerusi.
Selepas itu, mengikut formula asal UMNO, bagi 71 kerusi dimenangi PN, parti yang mendapat undi kedua terbanyak akan bertanding mewakili PH-BN pada PRU16 dan berdasarkan cadangan ini, PH akan bertanding di 90 kerusi manakala BN 75 kerusi.
“Namun, oleh kerana formula ini hanya membolehkan MCA bertanding dua kerusi Parlimen sahaja, ia menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpinnya.
Bagi mencari jalan untuk bertanding lebih daripada dua kerusi, MCA mendesak BN bertanding solo, walaupun ia sedar kemahuannya itu akan menyebabkan berlakunya pertandingan tiga penjuru yang akan menjejaskan peluang BN dan PH,” katanya.
Katanya, walaupun MCA merupakan rakan gabungan Kerajaan Perpaduan, ia bersikap seperti pembangkang.
MCA membawa isu yang menyebabkan kemarahan dalam kalangan parti-parti komponen, menimbulkan keresahan kaum Cina, dan mempertikaikan kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta menyerang DAP dan Kerajaan Perpaduan.
Pada masa yang sama, Pas dan Bersatu pula meneruskan kempen membangkitkan keresahan orang Melayu bagi menimbulkan rasa kurang keyakinan terhadap Anwar dan Kerajaan Perpaduan.
Manakala dalam UMNO pula, ada pemimpin yang tidak mahu parti itu bertanding sebagai rakan gandingan PH.
“Mereka percaya UMNO hanya dapat mengembalikan kegemilangan masa lalu dengan bertanding bersendirian di sebanyak kerusi yang boleh di samping mengemukakan calon Perdana Menteri mereka sendiri.
Mereka beranggapan cara ini dapat mengembalikan sokongan Melayu kepada UMNO.
Beliau mendakwa, dalam landskap politik sekarang, jika diramalkan, keputusan PRU16 nanti bakal menyaksikan PH dan PN kekal sebagai dua gabungan besar manakala BN pula semakin hilang popularitinya.
Nnnn
