Tujuh kosong kerusi hanya khabar angin

SHAH ALAM 21 Ogos – Dakwaan kononnya terdapat tujuh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bakal mengosongkan kerusi masing-masing, hanyalah khabar angin, kata Timbalan Perdana Menteri,  Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi BN itu berkata, kesemua Ahli Parlimen parti terbabit terikat dengan aku janji berserta dokumen yang ditandatangani dan diikrarkan di hadapan beliau.

“Itu khabar angin dan kita akan lihat bahawa yang paling penting kita tunggu sampai akhir penggal dan jika mahu lakukan tindakan-tindakan politik yang sebaliknya kita harus melihat mandat dan watikah sudah diberikan kepada mereka mewakili parti dan bukan diri sendiri.

“Ini sudah ditandatangani oleh mereka di dalam aku janji dan dalam dokumen yang diikrarkan di hadapan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Madani Ride Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena peringatan Hari Polis Ke-216 dan Sambutan Bulan Kemerdekaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.

Yang turut hadir,Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali serta Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Semalam Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam, dalam satu rakaman video mendakwa terdapat satu desas-desus tujuh Ahli Parlimen BN akan mengosongkan kerusi mereka.

Tujuh kerusi Parlimen yang disebutkan dalam video Pengarah Komunikasi BN itu adalah empat kerusi Parlimen di Johor, masing-masing satu kerusi di Pahang, Sabah dan utara tanah air.

Sementara itu, Ahmad Zahid memberitahu, BN sedang meneliti senarai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang.

Katanya,  perbincangan sudah diadakan dengan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, berhubung perkara itu.

“Soal siapa yang akan mewakili BN dan UMNO itu, kita akan perincikan apabila UMNO Bahagian Bentong mengemukakan nama kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri untuk keputusan yang akan kita buat nanti,” katanya.

Kerusi DUN Pelangai berhadapan kekosongan luar jangka susulan kematian penyandangnya, Johari Harun, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang.

Allahyarham adalah antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam Khamis lalu.

Related posts

Leave a Comment