Wan Rosdy dilantik semula MB Pahang

KUANTAN 27 Nov. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Wan Rosdy Wan Ismail dilantik sebagai Menteri Besar Pahang selepas diperkenankan oleh

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Majlis Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang akan diadakan di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan pada pukul 11 pagi, esok.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab. Rahman, berkata Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah telah berkenan menerima menghadap dan mendengar cadangan, usul serta hasrat pimpinan parti-parti politik yang terbabit susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

“Pemangku Raja Pahang selanjutnya telah memperkenankan pembentukan Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Raja Pemerintah sebagaimana yang dinyatakan dalam Bahagian II, Perkara 3.(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Pemangku Raja Pahang telah berkenan untuk melantik Datuk Seri Wan Rosdy sebagai Menteri Besar Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), BN memperoleh 16 kerusi daripada 41 kerusi DUN Pahang dan PH memperoleh lapan kerusi dan Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh 17 kerusi.

Keputusan PRU-14 pula menyaksikan BN Pahang membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 25 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan manakala PKR sembilan kerusi dan Pas lapan kerusi.

Wan Rosdy menang 10,092 undian dengan majoriti undi sebanyak 6,983 dan mewakili DUN Jelai sejak 2004, menggantikan ADUN Pelangai Adnan Yaakob yang memegang jawatan berkenaan selama empat penggal.

Sebelum menjadi ahli politik sepenuh masa, beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Kanan di PadiBeras Nasional (Bernas).

Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands ini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) Sains Politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan mengambil Diploma Pengajian Perdagangan Institut Teknologi Mara yang kini dikenali UiTM.

Beliau pernah dilantik sebagai Exco Perumahan dan Perbandaran negeri dan EXco Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli (2008-2013).

Related posts

Leave a Comment