SEREMBAN 17 Sept. – Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap proklamasi mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar bertarikh 19 April 2026.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan bahawa langkah itu selaras dengan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa proklamasi terbabit tidak sah, sekali gus menjadikan tindakan pewartaan sebagai tidak berperlembagaan.
Menurut kenyataan itu, dari segi perundangan, kerajaan negeri akur dengan pandangan AGC bahawa ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti mahupun kuasa di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 untuk membuat pengumuman berkenaan proklamasi terbabit.
“Selain daripada itu, tiada asas di sisi undang-undang bagi ahli MMKN untuk bersandar kepada proklamasi bertarikh 19 April 2026 bagi pengumuman mereka,” menurut kenyataan itu.
Pejabat SUK Negeri Sembilan merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, kepada media hari ini, berkaitan arahan untuk mewartakan proklamasi berkenaan yang diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan.
Sehubungan dengan itu, pentadbiran telah merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri, Negeri Sembilan bagi memastikan bahawa apa jua tindakan yang perlu diambil akan dilaksanakan mengikut undang-undang semasa dan UUTKNS 1959.
AGC dalam kenyataan malam ini memaklumkan proklamasi mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertarikh 19 April lalu tidak sah, kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959.
