Sikap tamak UMNO sukarkan rundingan di Pahang

SEPANG 27 Nov. – Sikap tamak pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Pahang yang mengenepikan mandat rakyat menyukarkan rundingan Perikatan Nasional (PN) untuk bersama membentuk penubuhan kerajaan negeri Pahang.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, sejak awal, PN sedia berunding untuk membentuk kerajaan Pahang tetapi bukan dengan PH yang membawa agenda yang bertentangan dengan kepentingan rakyat.

“Tetapi BN pula menuntut jawatan Menteri Besar dan mahukan tujuh kerusi Exco dan hanya setuju berikan PN satu kerusi exco sahaja walaupun mereka parti minoriti yang tiada mandat,” katanya dalam kenyataan melalui Facebooknya.

Beliau berkata, parti yang menerima mandat terbesar daripada rakyat Pahang ialah PN dan kehendak rakyat itu perlu dihormati

“Saya tidak tahu apa gula-gula “pelincir” yang PH setuju tawarkan kepada BN. Saya harap tidak ada perkara menyeleweng yang ditawarkan demi kuasa dan jawatan,” katanya melalui catatan di Facebooknya.

Semalam, Pengerusi PH Pahang Amirudin Shari memaklumkan mereka sudah mencapai persetujuan dengan BN untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Menteri Besar Selangor itu dilaporkan berkata, keputusan itu berdasarkan jumlah kerusi DUN secara keseluruhan yang dimenangi BN (16 kerusi) dan PH (8) yang melebihi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

PN pula mempunyai 17 kerusi DUN, manakala pilihan raya DUN Tioman kini dijadualkan pada 7 Disember berikutan kematian calon PN/Pas sebelum hari pengundian pada 19 November lalu.

Related posts

Leave a Comment