Bekalan makanan ruji stabil, cukup

KUALA LUMPUR 13 Julai – Bekalan makanan ruji negara berada dalam keadaan stabil dan mencukupi dengan stok penimbal beras mampu menampung keperluan domestik bagi tempoh enam bulan, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir

Beliau juga berkata dalam keadaan global tidak menentu, kerajaan juga menetapkan harga Beras Putih Tempatan (BPT) dikekalkan tanpa kenaikan.

“Keutamaan kita adalah memastikan bekalan asas tidak terputus dan rakyat tidak dibebani dengan kenaikan harga yang tidak munasabah,” katanya pada taklimat krisis bekalan global di sini, hari ini.

Beliau berkata perkara itu antara dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata kerajaan telah mengagihkan RM45.98 juta kepada 118,908 pesawah di Semenanjung Malaysia melalui Insentif Pembajakan Kepada Pesawah kerana memahami tekanan ditanggung mereka akibat perubahan cuaca dan peningkatan kos pengeluaran.

Berhubung risiko kenaikan harga baja, Akmal Nasrullah berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mempelbagaikan sumber input, memperkukuh bantuan kepada pesawah dan menambah baik kawal selia industri.

Beliau berkata Rang Undang-Undang Baja juga dijangka dibentangkan pada awal tahun depan bagi memperkukuh tadbir urus, kualiti dan ketelusan pasaran di samping meningkatkan daya tahan bekalan input pertanian.

MTEN turut mengambil maklum risiko cuaca panas dan kedudukan paras air empangan di mana pemantauan akan diperkukuh supaya tindakan mitigasi dapat digerakkan sebelum keadaan itu menjejaskan pengeluaran dan bekalan kepada pengguna.

Akmal Nasrullah juga memberitahu, berdasarkan perbincangan MTEN hari ini, kerajaan akan mengambil langkah berpandukan empat keutamaan, iaitu memastikan bekalan makanan, tenaga dan input industri terus terjamin melalui pemantauan lebih awal, inventori yang mencukupi dan sumber bekalan lebih pelbagai.

Kedua, mengurangkan kos struktur dan beban pematuhan yang tidak perlu, tanpa menjejaskan hasil negara, keselamatan pengguna atau daya tahan industri domestik.

Keutamaan ketiga ialah memperluas akses pasaran, menarik pelaburan berkualiti dan membantu syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasuki rantaian bekalan bernilai lebih tinggi.

Akmal Nasrullah berkata keutamaan keempat ialah mempercepat penggunaan teknologi, ekonomi kitaran dan pembangunan bakat supaya daya saing negara tidak bergantung kepada kos murah semata-mata.

Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bukan dokumen kewarganegaraan dan tidak memberikan imuniti daripada undang-undang Malaysia.

“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan tetap akan disiasat dan diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata perkara itu dibentangkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara susulan kebimbangan rakyat berhubung pengurusan pelarian khususnya isu dokumentasi, sindiket pemerdagangan manusia dan kesannya kepada keselamatan komuniti setempat.

Akmal Nasrullah berkata KDN, melalui Jabatan Imigresen, sedang melaksanakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian yang merangkumi pendaftaran biometrik, saringan, kawalan dan penguatkuasaan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment