MB, MMKN tiada kuasa kosongkan jawatan

PUTRAJAYA  17 Sept. – Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Justeru, kenyataan media atau pengumuman yang dibuat oleh pihak berkenaan tidak mempunyai sebarang kesan di sisi undang-undang.

Dalam kenyataannya, AGC berkata, kesahan serta kesan proklamasi berkaitan isu itu hendaklah ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, selaras dengan undang-undang, terutama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).

“Jabatan ini telah memberi pandangan awal bahawa proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS, khususnya tiada sebarang keterangan bahawa mana-mana faktor hilang kelayakan yang dinyatakan dalam Perkara 10(1) UUTKNS terpakai kepada DYMM Tuanku Muhriz İbni Almarhum Tuanku Munawir.

“Walaupun jelas Dato’-Dato’ Undang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan supaya DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diturunkan takhta namun, Perkara 10 UUTKNS turut memperuntukkan tatacara dan asas-asas pertimbangan sebelum Dato’-Dato’ Undang boleh membuat keputusan sedemikian,” menurut kenyataan itu.

Semalam, MMKN Negeri Sembilan menyatakan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah sah dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar baharu.

Menurut kenyataan itu lagi, AGC telah memberi pandangan awal bahawa proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS, khususnya tiada sebarang keterangan bahawa mana-mana faktor hilang kelayakan yang dinyatakan dalam Perkara 10(1) UUTKNS terpakai kepada DYMM Tuanku Muhriz İbni Almarhum Tuanku Munawir.

“Walaupun jelas Dato’-Dato’ Undang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan supaya DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diturunkan takhta namun, Perkara 10 UUTKNS turut memperuntukkan tatacara dan asas-asas pertimbangan sebelum Dato’-Dato’ Undang boleh membuat keputusan sedemikian,” katanya.

Menurut AGC,  setakat hari ini tiada fakta yang menunjukkan tatacara yang diperuntukkan tersebut telah dipatuhi.

AGC juga menarik perhatian kepada isu di mana ada dalam kalangan Undang yang menandatangani proklamasi tersebut tidak lagi memegang jawatan secara sah kerana telah diturunkan oleh adat di luak masing-masing.

“Keabsahan beberapa Undang yang menandatangani proklamasi tersebut adalah dipertikaikan kerana penurunan mereka telah dilakukan melalui adat di luak masing-masing. Oleh itu sebenarnya komposisi Undang Yang Empat adalah tidak lengkap pada masa yang material,” katanya.

AGC juga mengingatkan bahawa perkara berkaitan sedang dalam prosiding di Mahkamah Tinggi, dan terdapat perintah mahkamah dalam injunksi ‘interlocutory’ yang masih berkuat kuasa.

“Jabatan ini menyeru semua pihak supaya menghormati proses mahkamah dan membenarkan ia diselesaikan secara teratur,” katanya.

Related posts

Leave a Comment