Tuanku Muhriz pulang ke istana

SEPANG 17 Sept.  – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berangkat tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA T1) pukul 10.40 malam selepas pulang dari luar negara.

Keberangkatan tiba baginda disambut dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ oleh kira-kira 200 penyokong baginda yang berhimpun di hadapan bilik kenamaan di KLIA sejak pukul 8 malam tadi.

Anakanda Tuanku Muhriz, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Datuk Seri Ali Redhauddin, turut hadir bersama penyokong yang menanti ketibaan ayahandanya.

Majoriti penyokong memakai baju hitam dengan ramai penyokong lelaki memakai baju Melayu serta songkok dan sebahagian mereka yang membawa kain rentang turut melaungkan kata-kata sokongan ‘Daulat Tuanku’ dan ‘tangkap pengkhianat’.

Sementara itu, Tuanku Muhriz menzahirkan penghargaan atas sokongan yang diberikan kepada baginda susulan kemelut politik yang berlaku di negeri berkenaan.

Baginda bertitah, sokongan yang diterima menjadi dorongan untuk baginda kembali ke Negeri Sembilan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Terima kasih atas sokongan yang kuat. Saya akan balik istana, mana lagi saya nak balik. Saya balik nak selesaikan masalah ini, insya-Allah terima kasih semua,” titah baginda ketika ditemui di KLIA malam ini.

(Foto FB Aminuddin Harun)

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment