MB dakwa cubaan PN ‘curi’ 4 ADUN BN

LENGGONG 27 Nov. –  Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, mendakwa Perikatan Nasional (PN) cuba ‘mencuri’ empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan baru-baru ini.

Justeru beliau yang juga Pengerusi BN Perak terpaksa mengambil tindakan segera untuk membentuk kerajaan negeri bersama Pakatan Harapan (PH).

Katanya, tindakan itu perlu kerana beliau tidak mahu senario sama seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berulang, di mana dua ADUN BN ketika itu iaitu Zainol Fadzi Paharudin dan Nolee Ashilin Mohamed Radzi ‘dicuri’ untuk membentuk kerajaan negeri.

“Perkara itu (cubaan curi ADUN BN) mengecewakan…saya dimaklumkan oleh seseorang yang saya percaya bahawa ada ejen PN menelefon dan menghantar mesej kepada ADUN BN supaya keluar parti dan menyertai mereka…(keadaan ini) sama seperti yang berlaku pada 2018.

“Itu bukan cara yang betul (kerana) itu tikam belakang. Saya kata ini tidak boleh berlaku, lalu segera membuat keputusan dan menghubungi pihak istana untuk bertanya sama ada terdapat ruang untuk saya menghadap Sultan (Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) esok (20 November),” katanya.

Saarani  berkata demikian melalui ucapan khas beliau di hadapan ribuan penyokong BN di Dewan Kemas di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Saarani berkata, beliau kemudian menerima ‘lampu hijau’ daripada istana pada 21 November dan mengadap Sultan Nazrin pada pukul  12.30 tengah hari.

“Saya berjumpa semua ADUN BN dan beritahu saya sudah berjumpa Tuanku (Sultan Nazrin) mengenai hasrat untuk membentuk kerajaan negeri bersama PH dan mereka (ADUN BN) tidak membantah,” katanya.

Saarani kemudian mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-15 di hadapan Sultan Nazrin di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.

Pada PRU14, PN membentuk kerajaan negeri di Perak selepas Zainol Fadzi dan Nolee Ashilin berikrar menyokong gabungan itu membentuk kerajaan negeri selepas kemenangan tipis PN pada PRU14.

Pada PRU15, PH dan BN bersetuju bekerjasama membentuk kerajaan negeri selepas masing-masing memperoleh 24 dan sembilan kerusi, manakala PN memperoleh 26 kerusi.

Dalam pada itu, Saarani memohon maaf kerana membuat keputusan untuk bekerjasama dengan PH selepas PRU15 tanpa membincangkannya terlebih dahulu bersama semua bahagian dan ketua cawangan BN di Perak.

“Kita sudah kesuntukan masa. Saya percaya ini keputusan tepat untuk agama dan kaum.

“Saya amat kesal kerana tidak berunding dengan semua bahagian dan ketua cawangan parti.

“Jangan risau, saya berjanji….kita ada Menteri Besar, tiga EXCO dalam Barisan (BN) dan sekiranya DAP terus mendesak saya mengenai isu tanah, saya tidak ragu-ragu untuk menarik sokongan kita daripada kerajaan ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment