16 dibawa lari, berapa ‘kembali’ semula kepada UMNO?

MELALUI program Cuit & Selak Khas PRU15,  baru-baru ini, sahabat saya Sang Kelembai (SK) menjangkakan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) boleh memenangi sekurang-kurangnya 60 kerusi.

Jumlah yang dinyatakan SK atau Zaharin Mohd Yasin melebihi jangkaan saya yang hanya meletakkan 40 kerusi (mungkin setakat hari itu).

Sudah tentulah angka Zaharin tidak menepati jangkaan dalam kalangan pemimpin BN yang berani menjangkakan kemenangan 112 kerusi bagi mendapatkan majoriti mudah. Begitu juga dengan sasaran Pakatan Harapan (PH), angka yang sama.

Tidak ada parti yang bertanding pada PRU15 atau mana-mana pilihan raya sedia meramalkan kekalahan mereka. Semuanya yakin menang bergaya.

Pada PRU15 ini, masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri walaupun nampak lebih kemas adalah PH dengan gabungan lebih mantap diterajui kekuatan DAP sementara BN ada MCA dan MIC yang pada tanggapan DAP sudah separuh mati.

Menarik untuk diperhatikan,  bagaimana peluang BN dan PH mendapatkan semula kerusi yang dimenangi pada PRU14 tetapi dibawa lari sama ada dilabel sebagai ‘katak atau pengkhianat p’ untuk ‘melompat atau menyeberang’ ke parti lain.

Kumpulan mereka ini digelar ‘pengkhianat’ terutama oleh pimpinan PH kerana tindak tanduk mereka mendorong kepada kejatuhan kerajaan 22 bulan PH yang kemudiannya ‘dinikmati ‘ bersama PN dan BN yang membentuk kerajaan.

Berbalik kepada isu hari ini, adakah 16 kerusi yang dibawa lari oleh wakil rakyat UMNO selepas PRU14 ke Bersatu dan Warisan mampu diambil semula? Tidak semuanya kerana ada beberapa kerusi di Sabah sudah ‘bertukar tangan’.

Mungkinkah berlaku umpama yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran atau sebaliknya berlaku juga kepada kerusi lain? Masing-masing berebut bahagian yang sama dan lebih mencabar, dengan rebutan sekurang-kurangnya tiga penjuru.

Menyelak kembali mereka yang menang atas tiket UMNO, kemudian keluar parti menyertai Bersatu adalah Noor Azmi Ghazali P058 Bagan Serai;  Syed Abu Hussin P059 Bukit Gantang;  Mas Ermieyati Samsudin P134 Masjid Tanah.

Mustapa Mohamed P030 Jeli; Ikmal Hisham Abd. Aziz P027 Tanah Merah;  Ronald Kiandee P183 Beluran; Abd Rahim Bakri P167 Kudat; Azizah Mohd Dun P177 Beaufort; Zakaria Mohd Edros P184 Libaran; Yamani Hafez Musa P178 Sipitang;

Hamzah Zainudin (P056 Larut); Rosol Wahid P038 Hulu Terengganu; Abdul Latiff Ahmad P154 Mersing; Shabudin Yahaya P042 Tasek Gelugor dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh P092 Sabak Bernam manakala Rozman Isli P166 Labuan menyertai Warisan.

Daripada senarai itu, sama ada digugurkan atau meminta tidak dicalonkan semula, ia melibatkan kawasan Parlimen Bagan Serai, Jeli, Kudat, Beaufort, Libaran, Sipitang, Mersing dan Tasek Gelugor.

Bagi Beluran, kerusi itu yang menjadi ‘pertikaian’ BN-Gerakan Rakyat Sabah (GRS) akhirnya diserahkan kepada BN tetapi penyandang pula bertindak mempertahankan kerusi itu atas tiket PN manakala Warisan mengekalkan calonnya di Labuan.

Ini bermakna, UMNO atau BN sekali lagi berhadapan dengan lapan bekas wakil rakyatnya yang menang pada PRU14 dan pada masa yang sama menurunkan muka-muka baharu untuk mewakili 16 kawasan berkenaan.

Menarik untuk diperhatikan sama ada kemenangan calon-calon BN itu pada PRU14 adalah kerana calon atau parti. Jika calon, Hamzah, Rosol, Mohd Fasiah, Syed Abu Hussin, Ikmal, Mas Ermieyati, Ronald dan Rozman tiada masalah.

Tetapi jika kerana parti, mereka mungkin menghadapi sedikit masalah bagaimana pun mereka juga tidak bersendirian kali ini kerana didokong oleh kesetiaan penyokong Pas kecuali Rozman di Labuan yang bersendirian bersama Warisan.

Pas memainkan peranan utama dalam melorongkan kemenangan PN dan tidak hairanlah, awal-awal lagi, Pas dijanjikan mengetuai kerajaan Perlis jika PN menang di negeri itu.

Justeru UMNO tidak boleh memandang mudah untuk menyenaraikan sekurang-kurangnya 13 daripada 16 kawasan ini sebagai ‘selamat’ hanya kerana ia dimenangi UMNO sebelum ini, lebih-lebih lagii jika majoriti yang dimenangi tidak mencecah 2,000 undi.

Di Tasek Gelugor contohnya, BN pada PRU14 hanya menang majoriti 646 mengalahkan calon PKR-Bersatu (18,466) dan Pas (14,891), di Tanah Merah menang majoriti 2,929 dengan calon Pas 25,223 dan PKR 4,747.

Kali ini melibatkan pertembungan lima penjuru iaitu Muhamad Yusoff Mohd. Noor (BN-UMNO), akan ditentang calon PN – Bersatu, Wan Saiful Wan Jan (PN-Bersatu),

Nik Abdul Razak Nik Md. Ridzuan (PH-Amanah), Mohamad Akmal Azhar (Warisan) dan Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang).

Begitu juga cabaran sengit BN untuk mempertahankan Bagan Serai apabila calon sebelum ini, Dr. Noor Azmi hanya menang 172 undi mengalahkan calon Pas dan PKR.

Pada kali ini, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad diturunkan mewakili PN, manakala BN diwakili Zul Helmi Ghazali; di samping Siti Aishah Shaikh Ismail (PH) dan, Ahmad Luqman Ahmad Yahaya (Pejuang).

Turut menjadi tumpuan adalah di Libaran. Kemenangan tipis BN dengan 678 undi sebelum ini mengalahkan calon Warisan dan Parti Harapan Rakyat Sabah sudah pasti menggusarkan BN yang pada kali ini melibatkan pertembungan enam penjuru.

Dua lagi kerusi yang menang majoriti kecil pada PRU lalu di Sabah adalah di Sipitang  dengan majoriti 852 undi dan di Kudat BN menang dengan majoriti 1,359 undi tetapi kali ini kedua-dua kerusi itu diserahkan kepada GRS.

UMNO juga menghadapi laluan lebih mencabar apabila PN merestui calonnya yang digugurkan, Dr. Ronald Kiandee bertanding semula di Parlimen Beluran, mencabar calon BN di kerusi yang diperuntukkan kepada BN hasil persefahaman dengan GRS.

Berdasarkan situasi ini, enam belas yang dibawa ‘lari’ selepas PRU lalu, tidak semuanya kembali ke ‘rumah BN’.

Related posts

Leave a Comment