Calon PRU tidak wajib isytihar harta

BERA 12 Nov. –  Pengisytiharan harta bukan sesuatu yang wajib bagi calon wakil rakyat dan setakat ini tiada syarat mewajibkan mana-mana calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik dalam Kabinet akan diwajibkan untuk mengisytiharkan harta masing-masing sementara yang lain atas kerelaan sendiri.

“Tidak perlu (isytihar harta) kerana kita hanya buat perkara yang termaktub dalam akta yang ditetapkan.

Apabila sudah menang nanti Ahli Parlimen juga diminta untuk isytihar harta dulu tetapi tidak semua mengisytiharkan harta kerana tiada keperluan.

“Ahli Parlimen boleh berniaga tetapi Menteri, Timbalan Menteri wajib isytiharkan harta,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera, di sini, hari ini.

Sebelum ini, calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diwajibkan mengisytihar harta.

Timbalan Presiden PKR yang juga calon bagi Parlimen Pandan, Rafizi Ramli antara individu yang menjadi tumpuan umum selepas mengisytihar harta sebanyak RM18.85 juta mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.

Ismail Sabri berkata, apa yang dilakukan Rafizi adalah keputusannya sendiri.

“Ada yang menjadikan isu ini sebagai modal politik untuk menjadi perangkap kepada mereka yang tidak turut berbuat perkara sama,” katanya.

Related posts

Leave a Comment