PRU15 diteruskan walaupun DUN kekal

JASIN: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diteruskan walaupun setakat ini lima negeri  enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Perdana Menteri  Ismail Sabri Yaakob berkata, semua negeri berhak untuk membubarkan DUN masing-masing pada bila-bila masa.

“(Bagaimanapun), saya mencadangkan dan mengesyorkan jika boleh diadakan secara bersama (pembubaran Parlimen dan DUN),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Loji Rawatan Air Kompak Chin Chin 3 di sini hari ini.

Semalam, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memutuskan untuk mengekalkan pendirian tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Ismail Sabri berkata mengadakan pilihan raya berasingan akan menyusahkan rakyat yang terpaksa keluar mengundi dua kali dan melibatkan perbelanjaan tinggi untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengulas mengenai keputusan Pas untuk memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN), Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata UMNO telah menjangkakan perkara tersebut lebih awal.

Justeru itu, beliau berkata Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini telah membuat beberapa kenyataan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersedia bergerak solo pada PRU15.

Bagaimanapun, katanya beliau menghormati keputusan mana-mana parti dan menyifatkan tindakan Pas sebagai hak parti berkenaan.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat semalam memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU15 dan ia dibuat atas prinsip penyatuan ummah.

Related posts

Leave a Comment