DUN Perlis juga bubar hari ini

KANGAR 14 Okt. – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis menjadi negeri kedua selepas DUN Pahang dibubarkan hari ini setelah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Menteri Besar Perlis, Azlan Man memaklumkan Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menerima menghadap beliau dan Speaker Hamdan Bahari pukul 3 petang semalam di Galeri Diraja Arau.

Katanya, pada sesi hampir satu jam itu, Raja Perlis telah disembah maklum mengenai Persidangan Khas DUN Perlis yang meluluskan sebulat suara pindaan Undang-undang Tubuh Negeri yang berkaitan peruntukan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti.

“Tuanku Raja Perlis memperkenankan pindaan dan akan diwartakan pada 14 Oktober dan berkuat kuasa pada 1 November 2022,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan pembubaran ini, pilihan raya negeri akan memilih 15 orang Ahli DUN serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 ekoran pengumuman pembubaran Dewan Rakyat pada 10 Oktober lalu.

Setakat ini hanya DUN Perak di bawah penguasaan Barisan Nasional (BN) belum mendapat perkenan pembubaran manakala Pulau Pinang masih menunggu keputusan muktamad Pakatan Harapan (PH).

Dua negeri di bawah pentadbiran PH iaitu Selangor dan Negeri Sembilan akan membubarkan DUN tahun depan.

Begitu juga Pas yang tidak membubarkan DUN di tiga negeri di bawah pentadbirannya iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Negeri-negeri lain telah selesai mengadakan pilihan raya negeri iaitu Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak.

 

#AZLAN Man (kiri) bersama Hamdan Bahari, selepas menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi mendapat perkenan pembubaran DUN Perlis semalam.

 

Related posts

Leave a Comment