Bulan terus ‘mengambang’ di tiga negeri

MARANG: Walaupun memilih bersama Perikatan Nasional (PN), Pas memutuskan untuk menggunakan logo parti itu sendiri di tiga negeri di bawah pentadbirannya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya  Abdul Hadi Awang berkata, Pas terbuka mengenai penggunaan simbol bagi negeri selain Kelantan, Terengganu dan Kedah yang akan dibincangkan di peringkat PN.

Pas merupakan salah satu parti komponen dalam PN selain Bersatu, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

“Terengganu, Kelantan dan Kedah memang Pas kuat (jadi) kita pakai simbol ‘bulan’. Negeri lain kita serah hendak pakai simbol apa. Kita buat keputusan, kita akan bincang.

“Negeri lain ini mereka tidak berapa tahu hal-hal Pas. Orang Kelantan, Terengganu dan Kedah sudah tahu. Negeri lain tidak apalah, kita maafkanlah,” katanya ketika menyampaikan kuliah dhuha bersempena Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera di Pantai Peranginan Kelulut di sini hari ini.

Abdul Hadi semalam berkata Pas membuat keputusan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam PN atas prinsip penyatuan ummah.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man juga mengesahkan parti itu sudah memuktamadkan keputusan untuk menggunakan logo parti tersebut di negeri pimpinannya.

“Penggunaan logo kita sudah putuskan bahawa Kelantan, Terengganu, Kedah kita akan gunakan logo Pas..

“Namun, negeri lain kemungkinan besar akan menggunakan logo PN, (ia) sudah dimuktamadkan dan akan bawa ke Majlis Pimpinan PN,” lapor harakahdaily dalam satu wawancara portal rasmi Pas.

Related posts

Leave a Comment