PM hanya boleh bawa hasrat UMNO

UMNO atau Barisan Nasional (BN) bukan lagi seperti dahulu yang menguasai Kabinet atau Jemaah Menteri. Perkongsian dengan Bersatu, Pas serta wakil dari Sabah dan Sarawak menyebabkan kata pemutus bukan lagi di tangan BN.

Justeru adakah hasrat UMNO untuk mencadangkan pembubaran Dewan Rakyat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 akan mendapat sokongan?

Harus diingat, daripada 31 anggota Kabinet, BN diwakili 12 orang iaitu UMNO (10) MCA (1), MIC (1) ; Bersatu diwakili 10 tetapi kini tinggal sembilan selepas seorang menyertai PBM, diikuti GPS (4), Pas (3) dan PBS (1).

Tajuk muka depan dua akhbar tempatan hari ini seolah-olah memberi jawapan. Mingguan Malaysia dengan tajuk “Bubar Parlimen “ manakala tajuk utama BH pula “Bukan hak UMNO “.

Adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mampu meyakinkan anggota Kabinet yang lain untuk menyokong pembubaran Parlimen dalam masa terdekat sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong?

Jika gagal, ini bermakna nasihat yang akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dianggap tidak mewakili Kabinet secara keseluruhan.

Ismail Sabri boleh sahaja membawa cadangan pembubaran itu bagi memenuhi kehendak Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Sekurang-kurangnya beliau sudah mematuhi kehendak MKT tetapi kata pemutus adalah Yang Di-Pertuan Agong.

Soal sama ada diterima atau ditolak bukan lagi tanggungjawab Ismail Sabri jika Seri Paduka mengambil kira pandangan Kabinet secara keseluruhan.

Berdasarkan beberapa kenyataan sebelum ini, Bersatu dan Pas tidak bersetuju PRU diadakan dalam tempoh terdekat kerana dikaitkan dengan musim tengkujuh yang akan menyulitkan orang ramai atau pengundi.

Malahan dalam kalangan anggota Kabinet dari UMNO sendiri juga khabarnya tidak semua bersetuju dengan PRU dalam tempoh terdekat ini yang dicanangkan pembangkang akan berlangsung dalam suasana banjir.

Di samping itu, bagaimana pula dengan kata dua negeri-negeri yang mungkin tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing?

Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor di bawah pentadbiran Pas dan PH membayangkan akan menunggu sehingga penggal berakhir dan jika ini menjadi kenyataan, satu lagi pembaziran dijangka berlaku.

Bayangkan kos untuk PRU-15 secara berasingan antara DUN dan Parlimen. Andai ini berlaku, dua kali pengundi akan keluar mengundi, satu di Parlimen seluruh negara dan berikutnya di DUN kecuali di Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Adakah beberapa faktor ini akan turut diberi perhatian oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum memperkenankan pembubaran? Sudah tentu tanpa menyebelahi mana-mana pihak, baginda boleh membuat keputusan yang tepat untuk rakyat.

Memang benar, Ismail Sabri bukan berhadapan undi tidak percaya sehingga perlukan pembubaran Parlimen tetapi realitinya , UMNO mahu mewujudkan kerajaan yang benar-benar stabil selepas kejatuhan kerajaan PH.

Isu mewujudkan kerajaan stabil bukan sesuatu yang baharu tetapi tertangguh disebabkan pandemik Covid-19 di samping ‘sokongan’ PH yang tidak banyak mengganggu gugat perjalanan kerajaan Keluarga Malaysia.

Mungkin masanya telah tiba, bagi mengembalikan kestabilan untuk meyakinkan pelabur tanpa perlu menunggu sehingga tahun depan lebih-lebih lagi ketika situasi ekonomi tidak menentu.

Dalam politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Hari ini lain, esok lain. Semalam Covid-19, hari ini banjir. Masa begitu pantas berlalu. Masa tidak pernah menunggu. Adakah masih perlu “tunggu dan lihat?”.

Related posts

Leave a Comment