KUALA LUMPUR 6 Nov. – Sebarang usaha untuk menangguhkan pelaksanaan Titah Yang di-Pertuan Agong dan Keputusan Lembaga Pengampunan disifatkan sebagai satu bentuk penderhakaan dan pencabulan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga menegaskan, apa keperluan untuk menangguhkan lagi perlaksanaan tahanan dalam rumah setelah pembayaran denda telah sempurna dilunaskan?
“Hormatilah Titah dan Kuasa Pengampunan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di bawah peruntukan perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Tuanku melalui Lembaga Pengampunan telahpun membuat keputusan dan menitahkan syarat-syarat yang telahpun dipenuhi. Apa keperluan untuk menangguhkan lagi pelaksanaan tahanan dalam rumah?,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan September lalu.
AGC dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, keputusan itu dibuat susulan timbul persoalan perundangan mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International.
Nnn
