Tabung Solidariti Najib ditutup

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan UMNO bagi membantu bekas Perdana Menteri itu menjelaskan denda RM50 juta ditutup secara rasmi selepas sumbangan diterima mencapai sasaran dan mencukupi.

Setiausaha Agung UMNO,  Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu juga telah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, tabung yang dilancarkan pada 18 September lalu itu bertujuan menerima sumbangan orang ramai menerusi kaedah pendanaan awam bagi membantu bekas Perdana Menteri.

“UMNO dengan ini secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak yang diwujudkan untuk penerimaan dana sumbangan orang ramai dan tiada lagi keperluan untuk pendanaan awam bagi tujuan tersebut,” katanya.

Najib dilapor selesai menjelaskan denda RM50 juta  terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Pegawai khas beliau, Ahmad Lutfi Azhar hadir di mahkamah pukul 11.30 pagi bagi menyelesaikan urusan pembayaran tersebut dan melengkapkan prosedur pentadbiran yang diperlukan sebelum pembayaran itu dimuktamadkan.

Pembayaran itu antara syarat pengampunan bersyarat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.

Related posts

Leave a Comment