Pas perlu tinggalkan PN, Bersatu

ALOR GAJAH 2 Okt. – Tinggalkan Perikatan Nasional (PN) serta putuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika Pas ingin meneruskan kerjasama dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, Pas juga perlu mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu sudah mufarakah (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.

Pas perlu memenuhi tiga syarat utama itu sebelum sebarang perundingan baharu untuk meneruskan kerjasama menjelang PRU-15.

“Semua syarat itu sebenarnya sudah diketahui Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menerusi satu pertemuan baru-baru ini dan saya sudah menyatakan (tiga syarat).

Mereka tahu syarat itu dan kalau mereka memenuhi syarat itu, baru perundingan (kerjasama) boleh kita dilakukan bersama,” katanya  selepas menutup Program Bootcamp BNComms di Kem Permata Resort, Ayer Pa’abas, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penerangan BN, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Ahmad Zahid berkata, setakat ini, tiada perbincangan secara rasmi dibuat antara pucuk kepemimpinan UMNO dan Pas mengenai syarat yang ditetapkan itu.

Namun, katanya, hanya perbincangan biasa atau tidak rasmi kerap dibuat antara pemimpin kedua-dua parti.

“Selagi Pas tidak membuat keputusan secara rasmi, selagi itu kita tidak dapat merungkaikan apa juga isu serta perkara yang menjadi penghalang kepada hubungan kerjasama ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment