Anwar ketuai gerakan ‘benam pengkhianat’

ANWAR Ibrahim dijangka berhijrah lagi. Selepas Permatang Pauh dan Port Dickson, Presiden PKR itu akan beralih ke kawasan baharu. Jika benar beliau tidak ‘sembang kencang’ kali ini, bersedialah ‘pengkhianat’ PKR atau Pakatan Harapan (PH).

Penghijrahan kali ini bukan sekadar ‘suka-suka’ tetapi membawa misi ‘balas dendam’ dan ‘membenamkan’ wakil rakyat yang dianggap mengkhianati parti.

Malam tadi pada program Sembang Kencang Kelab Wartawan Kuala Lumpur (KLS) @DSAI, Pengerusi PH itu secara tidak langsung membayangkan akan meninggalkan Port Dickson untuk bertanding kawasan lain.

“Kawasan kubu UMNO pun (PH) boleh masuk.Tetapi saya harus pilih kawasan-kawasan pengkhianat. Mesejnya bahawa pengkhianatan dalam politik (tidak boleh diterima).

“Kemungkinan besar (saya bertanding) di kerusi pengkhianat,” katanya ketika menjawab soalan pada program itu mengenai lokasi pilihannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Siapakah yang dimaksudkan pengkhianat itu? Umum sudah tentu mengetahui sekumpulan wakil rakyat PKR yang terlibat dalam Langkah Sheraton dianggap sebagai ‘pengkhianat’ yang keluar parti sehingga membawa kejatuhan kerajaan PH.

Anwar bagaimanapun tidak menamakan kawasan pilihan raya Parlimen itu tetapi di Semenanjung, Anwar boleh sahaja memilih tujuh kawasan yang dulunya diwakili PKR dan kini dikenali sebagai anggota Parlimen Bersatu.

Tujuh kawasan itu melibatkan Gombak (Mohamed Azmin Ali), Ampang (Zuraida Kamaruddin), Indera Mahkota (Saifuddin Abdullah), Segamat (Edmund Santhara Kumar Ramanaidu), Bandar Tun Razak (Kamaruddin Jaffar), Nibong Tebal (Mansor Othman) dan Batu Pahat (Rashid Hasnon).

Dua kawasan yang dianggap mencabar adalah Gombak yang diwakili Mohamed Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR yang kemudiannya melompat ke Bersatu dan kini sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Begitu juga Ampang yang diwakili bekas Ketua Pergerakan Wanita PKR, Zuraida yang sebelum ini melompat ke Bersatu tetapi beralih kepada Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebagai bakal Presiden.

Mungkinkah Anwar kembali ke Pulau Pinang dengan memilih Nibong Tebal atau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di kerusi Bandar Tun Razak?

Di mana juga kerusi yang menjadi pilihan Anwar sekurang-kurangnya pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan yang bakal melibatkan pertembungan PH, BN dan PN serta PBM.

Sama ada Gombak, Ampang, Nibong Tebal atau Bandar Tun Razak, kerusi yang dilabel sebagai diwakili ‘pengkhianat’ PKR dan PH kini menjadi tumpuan berikutan ‘dendam politik’ yang akan diselesaikan di gelanggang PRU15.

Ternyata PH tidak akan melepas dan membebas begitu sahaja ‘pengkhianat’ ini sebaliknya akan memberi cabaran kepada parti lawan khususnya Bersatu dan sekutunya Pas dalam Perikatan Nasional (PN).

Beberapa hari lalu, di Kangar, Perlis, Anwar menegaskan nasib para ‘pengkhianat’ parti akan berakhir dengan persaraan mereka selepas PRU15.

Justeru bagi menumbangkan bekas wakil rakyat itu, beliau mengarahkan pimpinan parti mengetengahkan calon-calon terkuat di kerusi dipegang ‘pengkhianat-pengkhianat’ tersebut.

“Saya beri mesej jelas, apa pun alasan diberikan, dia khianat akan ditolak. Mereka yang khianat tidak pindah berdasarkan prinsip sebaliknya disebabkan harta dan kuasa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment