Pastikan kebenaran sejarah diberitahu

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mengingatkan ahli sejarah supaya sentiasa memainkan peranan mereka untuk memastikan kebenaran diberitahu.

Baginda bertitah, dalam dunia di mana persepsi menjadi lebih penting berbanding kebenaran, berlaku peningkatan ketara maklumat salah, diselewengkan dan fakta dimanipulasi secara sistematik terutama di media sosial.

“Mempersoalkan perspektif sedia ada, serta menggunakan semua sumber bukti adalah penting seperti bertanyakan naratif yang dominan,” titah baginda pada pelancaran buku ‘Contesting Malaysia’s Integration Into The World Economy anjuran Institut Asia-Eropah (AEI) Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UM, Prof Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor dan Pengarah Eksekutif AEI, Prof  Rajah Rasiah.

Buku disunting oleh Rajah, Azirah Hashim dan Jatswan S Sidhu itu adalah bagi memperingati serta sebagai tanda penghormatan kepada sejarawan ulung, Allahyarham Prof Shaharil Talib Robert.

Buku terbabit menghimpunkan hasil kerja Shaharil merangkumi konsep sejarah yang dibina secara aktif melalui soal siasat kritikal terhadap perspektif sedia ada dan penggunaan bukti kukuh.

Sultan Nazrin bertitah, memahami sejarah adalah penting tetapi menjadi lebih keutamaan pada zaman perubahan dan peralihan global seperti dialami dunia ketika ini.

“Ketika kita mahu bergerak ke hadapan dan meninggalkan impak buruk akibat pandemik Covid-19 yang menyaksikan banyak negara menutup sempadan mereka dan perdagangan dunia merudum, berlaku pula pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

“Perang sekali lagi mengganggu rantaian perdagangan dan bekalan global, menyebabkan kemunduran bagi ekonomi dunia,” titah baginda.

Menurut baginda, orang ramai kini berdepan harga komoditi yang lebih tinggi, terutamanya untuk tenaga serta makanan.

Situasi ini titah baginda menyebabkan inflasi meningkat dengan mendadak, hampir semua mata wang bukan dolar AS susut manakala simpanan serta pendapatan terhakis.

Related posts

Leave a Comment