Tidak timbul isu Pas takut arus semasa

TUMPAT 29 Sept. – Pas menolak tanggapan bahawa parti itu menggunakan alasan banjir bagi mengelak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam tempoh terdekat kerana takut dengan arus politik yang dikatakan tidak memihak kepada parti itu.

Pesuruhjaya Pas Kelantan, Ahmad Yakob, berkata parti itu mempunyai pandangan tersendiri berhubung PRU15 termasuk keutamaan untuk menyempurnakan manifesto.

“Kita mempunyai pandangan sendiri berhubung pilihan raya iaitu kita lebih fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat terutama menyempurnakan manifesto kita.

“Kalau kita buat tahun ini, kita masih ada lagi berbaki program tapi kalau buat tahun depan, musim pun (sudah) tidak tengkujuh, bulan tiga atau empat, Insya-Allah dapat selesaikan keseluruhan manifesto yang janji dengan rakyat,” katanya hari ini.

Kelmarin, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Nur Jazlan Mohamed dalam kenyataannya mendakwa Pas takut arus politik semasa menghanyutkan dan menghancurkan kuasa serta pengaruh parti itu sekiranya PRU15 disegerakan.

Dakwanya lagi, Pas akan cuba menggunakan pelbagai taktik dan alasan untuk melambat-lambatkan PRU15 supaya dapat mengukuhkan kedudukan mereka.

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, jika PRU15 tetap dijalankan pada tahun ini, Kelantan berdepan kesukaran kerana dalam masa yang sama perlu menangani fenomena Monsun Timur Laut.

Pusat mengundi di sekolah juga akan bertambah berikutan pengundi 18 tahun sekali gus mana-mana sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mungkin turut terbabit dalam PRU15.

Related posts

Leave a Comment