AS akan bawa pulang uranium Iran

PHOENIX – Presiden Donald Trump mendakwa Amerika Syarikat (AS) dan Iran akan bersama-sama mengeluarkan uranium dari tapak nuklear Tehran di bawah perjanjian damai, sebelum bahan itu dipindahkan ke wilayah AS.

Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan kenyataan Kementerian Luar Iran sebelum ini, menegaskan bahawa stok uranium diperkaya milik Republik Islam itu tidak akan dipindahkan ‘ke mana-mana’.

“Seseorang bertanya, bagaimana kita akan mendapatkan ‘habuk nuklear’ itu? Kita akan mendapatkannya bersama Iran, dengan menggunakan banyak jentera pengorek.

“Kita memerlukan jentera pengorek terbesar yang boleh anda bayangkan tetapi kita akan masuk bersama Iran. Kita akan mendapatkannya. Kita akan membawanya pulang ke AS dalam masa terdekat,” kata Trump kepada perhimpunan gerakan konservatif Turning Point USA di Phoenix, Arizona.

Kenyataan Trump itu memperincikan dakwaannya pada Khamis bahawa Iran bersetuju untuk menyerahkan uranium diperkaya, namun tanpa memberikan sebarang butiran mengenai pemindahan terbabit.

Pemimpin AS itu sering menggunakan istilah ‘habuk nuklear’ bagi merujuk kepada simpanan uranium diperkaya Iran, yang didakwa oleh Washington sebagai bahan yang dikumpulkan untuk menghasilkan senjata nuklear.

Namun, beliau juga kadangkala menggunakan istilah itu untuk merujuk kepada bahan yang tinggal daripada serangan AS ke atas kemudahan nuklear Iran pada Jun tahun lalu.

Related posts

Leave a Comment