Tiada kemajuan ketara rundingan Hamas, AS

ISTANBUL – Tiada kemajuan ketara dalam rundingan antara Hamas dan Amerika Syarikat (AS) di Kaherah dalam usaha untuk memajukan fasa kedua perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza.

Menurut sumber,  “rundingan berakhir tanpa kemajuan ketara ke arah peralihan ke fasa kedua,” susulan perbezaan pandangan mengenai syarat utama.

Rundingan itu, yang pertama sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober 2025, diadakan sebagai sebahagian usaha melengkapkan perjanjian gencatan senjata di bawah pelan yang dicadangkan oleh Presiden AS Donald Trump.

Ia menghimpunkan Ketua Hamas di Gaza Khalil al-Hayya, pegawai Mesir, utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Nickolay Mladenov serta penasihat kanan AS, Aryeh Lightstone.

Hamas menekan pihak pengantara supaya memastikan Israel mematuhi komitmen yang digariskan dalam fasa pertama.

Trump mengumumkan pelaksanaan fasa kedua pada pertengahan Januari di bawah rangka kerja yang disokong Resolusi 2803 Majlis Keselamatan PBB yang diluluskan pada 17 November 2025.

Fasa pertama yang dilaksanakan pada Oktober 2025 merangkumi gencatan senjata dan pertukaran tahanan antara Israel dan puak Palestin. Bagaimanapun, sumber Palestin menyatakan Israel terus melanggar perjanjian itu hampir setiap hari.

Sumber Palestin menyifatkan cadangan yang dibentangkan dalam rundingan itu sebagai “tidak adil” kerana menerima tuntutan Israel sambil mengabaikan kepentingan Palestin serta keperluan kemanusiaan di Gaza.

“Kertas cadangan itu mengabaikan komitmen Israel di bawah fasa pertama, yang hanya sebahagiannya dilaksanakan,” kata sumber itu sambil memaklumkan bantahan daripada Hamas dan puak Palestin lain.

Sumber itu menambah Hamas telah memenuhi komitmennya termasuk membebaskan semua tawanan Israel yang masih hidup serta memulangkan mayat, walaupun berdepan keadaan lapangan dan logistik yang sukar.

Sebaliknya, Israel terus melaksanakan tindakan ketenteraan, mengehadkan penghantaran bantuan serta menghalang kemasukan bahan pembinaan semula dan peralatan berat yang diperlukan untuk membersihkan runtuhan, katanya.

Related posts

Leave a Comment